M. Sambanthan

KUALA LUMPUR – Parti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF) mahu mendapat pengiktirafan daripada Barisan Nasional (BN) dengan diberi kepercayaan meletakkan calon pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU 14).

Presidennya, Datuk M. Sambanthan berkata, parti berhasrat untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Andalas atau Parlimen Kota Raja.

“Sudah lebih 24 tahun IPF berjuang sebagai parti mesra BN untuk kemenangan besar kerajaan dengan meraih sokongan majoriti komuniti India di negara ini.

“Kami akan terus setia bersama BN, satu-satunya parti yang mampu menjamin kesejahteraan masa depan India di negara ini.

“Sebagai pengiktirafan untuk perjuangan kami sejak dua dekad lalu, kami mahu kerusi majoriti India iaitu DUN Seri Andalas atau Parlimen Kota Raja,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Beliau menyatakan keyakinan bahawa IPF dengan sokongan jitu masyarakat India yang dimilikinya menerusi perjuangan ikhlas 24 tahun lalu, mampu mengembalikan kerusi itu kepada BN pada pilihan raya akan datang.

Sambanthan berkata, partinya mempunyai calon berkelayakan yang memiliki pengaruh untuk mendapatkan sokongan pengundi India.

“Percayalah Datuk Seri Perdana Menteri (Najib Tun Razak), IPF mempunyai calon yang bersedia menggalas tugas berat itu dan mampu merampas kerusi Kota Raja atau Sri Andalas dari cengkaman pembangkang kali ini.

“Beri peluang sekali ini dan kami akan buktikan dan pastikan kerusi itu menjadi milik BN semula dengan kemenangan besar.

“IPF sangat pasti boleh menterjemahkan undi masyarakat India di dua kawasan ini dalam bentuk kemenangan kepada BN kali ini, kami akan buktikan pada PRU 14,” ujarnya.

Kedua-dua kawasan itu mempunyai jumlah pengundi India yang ramai dan IPF percaya boleh memujuk pengundi India kembali ke pangkuan BN.

Justeru kata Sambanthan, jentera pilihan raya IPF sudah beroperasi, khususnya di Kota Raja dan Sri Andalas dengan strategi, mekanisme unik dan formula tersendiri bagi memastikan pembangkang tersungkur kali ini.- MalaysiaGazette