Ahmad Zahid Hamidi (tengah) pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM) di Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 3 MAC 2017.

KUALA LUMPUR – Lelaki Korea Utara yang ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan Kim Jong-nam, Ri Jong Chol disenaraihitam dan dilarang memasuki semula negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, tindakan itu diambil untuk mengelak negara ini dijadikan pangkalan untuk Korea Utara melakukan agenda tersembunyi pada masa akan datang.

“Lelaki ini didakwa datang ke negara ini untuk bekerja dengan sebuah syarikat, tetapi siasatan polis mendapati dia sebenarnya tidak bekerja di sini.

“Jadi dalam hal ini kita tidak mahu elemen seperti beliau (Jong Chol) berada di negara ini dan perlu diusir keluar segera.

“Kerajaan Malaysia harus bertegas dengan pendirian yang mana kita tidak mahu ada beberapa unsur tidak menepati kehendak sesebuah negara sahabat (Malaysia), sebaliknya hendak jadikan negara ini sebagai pangkalan untuk mereka melakukan agenda tersembunyi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM) di ibu negara.

Ahmad Zahid berkata, Jong Chol yang berada di depoh tahanan Imigresen akan diterbang ke Beijing dan seterusnya ke Pyongyang dengan diiringi dua pegawai kedutaan Korea Utara.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri memberi amaran kepada kedutaan Korea Utara yang terus mengecam kerajaan mengendalikan proses siasatan Jong-nam selain mengeluarkan kenyataan kononnya mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung.

“Saya harap Korea Utara menghentikan hentam kerajaan dan kreadibiliti pasukan forensik dan Polis Di-Raja Malaysia (PDRM), jika dia terus mengecam, dia akan membayar pada harga yang mahal dan dia harus hormati sistem sistem perundangan, etika, budaya dan kelaziman yang dilakukan negara ini,” ujarnya.

Kata beliau, dalam hal ini kedutaan itu perlu menghormati protokol diplomatik antarabangsa, undang-undang Malaysia dan budaya etnik rakyat di negara ini.

Beliau menegaskan, kerajaan Malaysia dan PDRM menguruskan kes ini dengan penuh profesional, berintegriti dan beretika dan mana-mana pihak tidak boleh mempertikaikan kebolehan pasukan pihak berkuasa negara ini.

“Kita telah melengkapkan siasatan berdasarkan empat elemen iaitu kandungan forensik dalam DNA, bahan kimia (agen saraf VX) dan rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) berdefinisi tinggi.

“Berdasarkan siasatan ini, segala bukti yang dikumpul dibawa ke mahkamah dan mendakwa dua suspek wanita (Doan Thi Houng, 29 (Vietnam) dan Siti Aisyah (Indonesia), 25, didakwa di mahkamah,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan dua suspek yang boleh membantu siasatan bersembunyi di kedutaan Korea Utara, Ahmad Zahid berkata: “Dalam perkara ini bukan sekadar keluar waran, beberapa prosedur diplomatik perlu dipatuhi selagi seseorang itu berlindung di dalam mana-mana premis di mana-mana kedutaan atau pesuruhjaya,” ujarnya.

Menyentuh mengenai pengambilan sampel DNA daripada waris keluarga, kata Ahmad Zahid, terdapat cara lain untuk mendapatkan sampel berkenaan tanpa waris perlu hadir ke negara ini. – MalaysiaGazette