KUALA LUMPUR – Pas Terengganu semalam menafikan mengeluarkan Manifesto Awal Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang menjanjikan bantuan RM300 kepada rakyat di negeri itu yang berpendapatan RM3,000 ke bawah.

Menurut Pesuruhjayanya, Satiful Bahri Mamat manifesto asal oleh parti berkenaan dipercayai ditokok tambah oleh sesetengah pihak.

“Kita (Pas) melancarkan lima manifesto awal untuk janji kita kepada rakyat negeri Terengganu Darul Iman. Khususnya, dalam kalangan pemuda-pemuda yang berani membuat perubahan ini.

“Tema untuk kita semua bergerak dan menjanjikan manifesto kita sempena menghadapi PRU-14,” katanya dalam laman web rasmi parti itu hari ini.

Dalam manifesto berkenaan, Pas dipercayai hanya mengusulkan lima perkara bagi menghadapi PRu14 akan datang antaranya  memastikan rakyat negeri berkenaan menerima satu lot tapak rumah atau satu unit rumah kediaman bagi rakyat Terengganu yang berusia 21 tahun keatas.

Memberikan geran kekal kepada pembukaan tanah yang diusahakan oleh rakyat Terengganu, perkhidmatan percuma caj wad kelas ketiga di semua hospital kerajaan negeri berkenaan dan peruntukan RM300 bagi warganya untuk mendapatkan lesen persendirian.

Malah manifesto berkenaan juga turut menganjurkan karnival kahwin kali pertama secara percuma di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri berkenaan.

Bagaimamanapun, bantuan RM300 kepada setiap warga Terengganu nyata rekaan semata-mata bertujuan untuk mengelirukan rakyat.

“Tema yang akan menjanjikan halatuju dan hasrat kita bersama, harapan untuk rakyat negeri Terengganu. Harapan kita bersama untuk memandu kita bersama manifesto yang akan menjanjikan lebih keselesaan kepada rakyat,” jelasnya yang juga ADUN Paka.

Manifesto awal oleh Pas Terengganu itu diumumkan Satiful Sabtu lalu yang bertemakan bertemakan ‘Maju Berkat Sejahtera’  rata-ratanya untuk membantu rakyat Terengganu secara langsung dalam beberapa keperluan asas yang sangat penting. – MalaysiaGazette.