Trump International Hotel and Tower dilanda kebakaran kecil pada awal pagi Jumaat lalu. - Foto:Harold Mindel

NEW YORK –  Trump International Hotel dan Tower di New York terlibat dengan insiden kebakaran kecil pada awal pagi Jumaat.

Kebakaran dilaporkan berlaku di tingkat 47, Apartmen Tower di Columbus Circle, Manhattan milik Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang terletak berhampiran Central Park.

Lebih sedozen pasukan bomba dan penyelamat serta pasukan kecemasan bergegas ke lokasi kejadian hotel itu untuk memadamkan api namun api merebak dengan pantas.

Penyiasat kebakaran belum dapat memastikan punca kebakaran berlaku tetapi menjelaskan siasatan awal pihaknya tidak menganggap ia suatu insiden yang mencurigakan.

Kebakaran dipercayai berlaku daripada jentera rosak di flat yang sedang berada dalam proses pembinaan dalam kawasan apartmen tersebut.

Kebakaran itu berlaku sekitar pukul 4.30 pagi waktu AS sebelum berjaya dipadam pukul 5.20 pagi.

Seorang mangsa dilaporkan cedera ringan dipercayai akibat asap tebal dalam kejadian tersebut.

Polis sedang menyiasat punca kebakaran itu dengan kerjasama pasukan bomba. – MalaysiaGazette