KUCHING- Seorang anggota polis berpangkat koperal bersama dua lagi individu didakwa di Mahkamah Seksyen di sini hari ini atas dakwaan memberi dan menerima rasuah.

Ketiga-tiga individu terbabit kini sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam satu kenyataan SPRM, anggota polis terbabit Koperal Zuliskandar Zolkeflee, 39, didakwa dengan satu pertuduhan kerana menerima wang berjumlah RM250 daripada Awang Ridzuan Matyasin sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan terhadap dua pesalah masing-masing melibatkan kes dadah dan memandu tanpa lesen.

Menurut kenyataan itu, tertuduh mengaku tidak bersalah atas dakwaan tersebut yang dibacakan di hadapan Hakim, Nixon Kennedy Kumbong.

“Hakim membenarkan Zuliskandar diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan dua penjamin serta tertuduh diperintahkan melapor diri di Pejabat SPRM Kuching pada setiap Sabtu.

“Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(a) SPRM 2009 yang dibaca bersama Seksyen 24 Kanun Keseksaan, dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum mengikut akta sama iaitu penjara tidak lebih 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu lagi, bagi pihak SPRM prosiding kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ikhwan Mohd Ibrahim.

Sementera itu, dalam kes berasingan, seorang warga India, Balaji Ramchandran, 38, bersama seorang lelaki warga tempatan Abdul Nasar Abdul Kassim, 52, mengaku tidak bersalah atas kesalahan menawarkan suapan berjumlah RM500 kepada seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia.

Kedua-dua suspek menawarkan wang rasuah tersebut sebagai dorongan agar pihak berkuasa tidak mengenakan tindakan ke atas tiga pekerja Balaji yang tidak mempunyai permit pekerjaan sah.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengahari 12 November tahun lepas, Abdul Nasar menjadi penterjemah bagi Balaji untuk menawarkan habuan itu kerana Balaji tidak fasih berbahasa Malaysia.

Kedua-dua tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan dua penjamin setiap seorang serta pasport antarabangsa milik Balaji perlu diserahkan kepada pihak mahkamah.

Pertuduhan untuk kedua-duanya dibuat mengikut Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama Seksyen 34, Kanun Keseksaan, yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 24, akta sama, iaitu dipenjara tidak lebih 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi.

Prosiding bagi kes berkenaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd Asri Abu Mansor.

Hakim menetapkan 29 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes untuk kedua-dua kes tersebut. – MalaysiaGazette