Duta Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol (tengah) diiringi anggota keselamatan dari dikerumi media tempatan dan antarabangsa sebaik tiba di KLIA berikutan kerajaan Malaysia telah mengusir beliau dari Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 06 MAC 2017

SEPANG – Berlaku pertembungan antara media tempatan dan antarabangsa ketika Duta Besar Korea Utara Kang Chol tiba di balai berlepas antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kelihatan beberapa jurukamera terjatuh dan dipijak oleh rakan-rakan media lain ketika Kang Chol mula bergerak ke bilik kenamaan untuk pemeriksaan imigresen.

Tolak menolak mulanya berlaku di pintu masuk KLIA apabila Kang Chol bersama isteri dan seorang kanak-kanak dipercayai cucunya tiba di perkarangan KLIA jam 4.30 petang.

Keadaan diburukkan lagi apabila media antarabangsa bertindak melulu di hadapan Kang Chol bagi mendapatkan kenyataan berhubung pengusiran beliau.

Menurut Shafiq Hashim jurugambar tempatan, semuanya bermula apabila jurukamera dan jurufoto antarabangsa enggan memberikan kerjasama sebaik Kang Chol tiba.

Ujarnya berlaku tolak menolak antara media tempatan dan antarabangsa yang mengakibatkan beberapa jurukamera terjatuh.

“Sebaik kenderaan kedutaan Korea Utara tiba, media antarabangsa sudah mula mengerumuni Kang Chol malah polis pun tidak boleh kawal. Ia berlarutan sehingga tiba di bilik berlepas kenamaan.

“Ia berlaku sehingga media tempatan tidak dapat masuk until ambil gambar. Ada di kalangan media yang tergolek dan terjatuh dan tercedera,” katanya menceritakan keadaan sebenar.

Semua media sebelum ini gagal menemui Kang Chol selepas Kementerian Luar mengeluarkan notis pengusiran terhadap beliau selama 48 jam bermula Sabtu.

Media sebelum ini berkampung di Kedutaan Korea Utara sejak berlakunya pembunuhan abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong un, Kim Jong nam pada 13 Februari lalu.

Malah ketika berada di Institut Perubatan Forensik Negara di Hospital Kuala Lumpur (HKL), media mula bertembung sesama sendiri ketika membuat liputan berhubung kematian Jong nam dipercayai dimulakan oleh media antarabangsa. -MalaysiaGazette.