Gambar pramugari sedang baring di dalam pesawat Malaysia Airlines sambil diperhatikan oleh Dr Anchita.

KUALA LUMPUR – Seorang pramugari Malaysia Airlines yang tiba-tiba pengsan dalam penerbangan berjaya menerima rawatan kecemasan daripada seorang doktor yang kebetulan berada dalam pesawat MH130.

Kisah itu dikongsikan oleh suami Dr. Anchita, Saurabh Kumar dalam Facebooknya yang dipetik oleh Times of India.

Katanya, kejadian itu berlaku ketika pesawat berkenaan dari Auckland ke Kuala Lumpur.

Selepas sejam penerbangan dan penumpang sedang menikmati makan tengah hari, tiba-tiba seorang pramugari bergegas di bahagian tempat penyimpanan di bahagian depan dan mengambil silinder oksigen.

Tidak lama kemudian juruterbang membuat pengumuman jika ada doktor berada dalam pesawat berkenaan.

Lantas, Kumar berkata, isterinya segera memberi respons.

“Ini sudah tentu ada kes kecemasan. Kami lantas ke bahagian depan dan mendapati pramugari itu pengsan dan rakan-rakannya cuba memberi bantuan.

“Anchita kemudian mengambil alih situasi itu. Dia diberikan perkakasan perubatan yang ada dalam penerbangan tersebut,” katanya sambil menyatakan kebimbangan pramugari itu tidak dapat dipulihkan.

Jika itu berlaku, pesawat berkenaan perlu membuat pendaratan kecemasan – hendak ke Australia perlu mengambil masa dua jam atau kembali ke Auckland pula satu jam lagi.

Atas usaha Anchita, pramugari itu kembali memberi maklum balas dan membuka matanya.

Melihat situasi itu, semua penumpang bertepuk tangan kerana gembira selepas melalui saat-saat cemas dalam pesawat.

“Juruterbang kemudian datang kepada kami dan mengucapkan terima kasih,” katanya. – MalaysiaGazette