Chua Tee Yong

KUALA LUMPUR – Kerajaan menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan tiada peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan di dalam projek pelaburan China di negara ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Chua Tee Yong berkata, bagi projek Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP) Sdn. Bhd., kerajaan telah menawarkan lebih 50 peratus peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“MCKIP, 51 ekuiti syarikat dimiliki oleh rakyat tempatan dan diselaraskan MITI dan Majlis Pembangunan Wilayah Pantai Timur di mana pelaburan ini mempunyai kriteria kalau memohon insentif dengan penggajian pekerjaan tempatan.

“Kilang yang dibangunkan sejak 5 Mei 2015 selain di negara China yang ada kilang sebegini ada di Malaysia dan kita berjaya menarik pelabur asing yang meninggikan eksport negara dengan 3,648 peluang pekerjaan.

“Sebanyak 53 peratus daripadanya dibuka untuk rakyat Malaysia, maka tidak benar tiada peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen PKR Permatang Pauh, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Untuk rekod, sehingga Disember 2016, jumlah pelaburan yang diluluskan daripada China dalam sektor pembuatan adalah berjumlah RM4.8 bilion dengan 33 projek terlibat dan akan menjana 10,140 peluang pekerjaan.

Dalam sektor industri barangan elektrik dan eletronik pula, jumlah pelaburan terlibat adalah sebanyak RM1.8 bilion, sektor industri galian bukan logam RM1.4bilion dan industri logam asas RM1.3 bilion. – MalaysiaGazette