Daniel Russel

KUALA LUMPUR – Kedutaan Amerika Syarikat (AS) memuji sikap profesional Malaysia dalam mengendalikan siasatan kes pembunuhan Kim Jong Nam.

Dalam satu kenyataan, Timbalan Setiausaha Negara untuk Hubungan Asia Tenggara dan Pasifik, Daniel Russel, menyifatkan dalam hal ini Malaysia pantas bertindak mengikut lunas yang betul.

“Saya ingin menzahirkan rasa hormat kami (AS) dan memuji profesionalisme pihak berkuasa undang-undang Malaysia yang menjalankan penyiasatan mengagumkan, selain bertindak berdasarkan fakta dalam kaedah yang pantas, profesional dan sofistikated.

“Pencabulan kedaulatan negara dengan tujuan pembunuhan politik adalah tindakan tercela, dan saya bersimpati dengan apa yang berlaku kepada Malaysia,” ujarnya dalam satu kenyataan yang dipetik dari Astro Awani.

Pada masa sama, Russel turut kesal dengan ketegangan hubungan diplomasi antara Kuala Lumpur-Pyongyang susulan kes berkenaan.

Justeru, beliau memahami tindakan yang diambil Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dalam menggunakan hak di bawah Konvensyen Vienna untuk mengisytiharkan ‘persona non grata’ kepada duta Korea Utara itu.

Russel turut berkongsi kebimbangan terhadap kebajikan rakyat Malaysia yang kini ditahan di republik itu.

Beliau berharap isu membabitkan kedua-dua negara dapat diselesaikan segera.