Datuk Seri Abdul Samah Mat bersara wajib selepas berkhidmat selama 41 tahun dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menangkap seorang lelaki berumur 32 tahun yang dipercayai saspek kes culik seorang paderi Raymond Koh Keng Joo, 62, di Petaling Jaya yang disyaki diculik pada 13 Februari lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Abdul Samah Mat berkata, saspek ditangkap lebih kurang pukul 3.30 pagi ini di Ampang hasil maklumat dan kerjasama keluarga mangsa.

“Siasatan polis mendapati saspek telah menghubungi ahli keluarga mangsa sehari sebelum tangkapan dibuat dan meminta sejumlah wang untuk pembebasan paderi tersebut.

“Mahkamah Majistret Petaling Jaya membenarkan perintah reman selama empat hari ke atas suspek bagi membantu siasatan polis,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi.

Tambah Abdul Samah,  kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan iaitu dengan niat menculik atau melarikan secara paksa.

Malah katanya lagi,  saspek turut disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana pemerasan.

“Polis sedang giat menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini.

“Justeru, pihak polis meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat tentang kes ini agar menyalurkannya kepada pihak polis dan tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara ini,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette