Mohamed Apandi Ali

KUALA LUMPUR- Rundingan rasmi di antara Malaysia-Korea Utara berhubung kemelut diplomatik di antara kedua-dua negara ekoran pembunuhan Kim-Jong nam masih berlangsung.

Bagaimanapun, tiada siapa boleh mendedahkan butiran rundingan tersebut kepada media selain Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atau Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, demikian menurut Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali.

Jelas Apandi, isu ini terlalu sensitif dan sebarang ulasan mungkin akan menjejaskan rundingan yang sedang berlangsung, justeru arahan telah dikeluarkan yang mana hanya Perdana Menteri atau timbalannya sahaja yang boleh mengeluarkan kenyataan.

“Rundingan masih berlangsung. Apa yang bagusnya adalah rundingan tersebut masih lagi berlangsung.

“Saya tidak tahu mengenai butiran rundingan namun apa yang penting kedua-dua pihak sedia untuk berunding,” katanya ketika ditanya pemberita selepas Kolokium Kehakiman Mengenai Perkongsian Amalan Baik Berkenaan Undang-Undang Antarabangsa Hak Asasi Manusia di sini hari ini.

Dua hari lalu, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman mengumumkan satu rundingan rasmi di antara kerajaan Malaysia dan Korea Utara akan diadakan dalam tempoh terdekat bagi membincangkan penyelesaian ketegangan diplomatik kedua-dua negara.

Rundingan tersebut juga adalah salah satu usaha kerajaan untuk membawa pulang sembilan kakitangan kedutaan Malaysia yang dihalang keluar oleh Pyongyang sejak 6 Mac lalu.

Wisma Putra sebelum ini telah mengadakan beberapa siri perbincangan tidak rasmi dengan Kedutaan Korea Utara di Malaysia sebagai persediaan untuk rundingan rasmi tersebut.

Anifah yang sepatutnya menyampaikan ucaptama di kolokium tersebut hari ini bagaimanapun tidak menghadirkan diri. Ucapannya dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Ramlan Ibrahim.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai nasib mayat Jong nam, Apandi menjelaskan, masih terlalu awal untuk ditentukan kerana Malaysia masih menunggu waris sama ada mahu menuntut mayat tersebut atau tidak.

“Seperti diketahui mayat tersebut telah diserahkan kepada Kementerian Kesihatan dan tunggulah dulu. Kita masih menunggu waris mangsa, sama ada mereka mahu menuntutnya atau tidak,” katanya lagi tanpa mahu mengulas lanjut mengenai isu pembunuhan abang tiri kepada pemimpin Korea Utara itu.- MalaysiaGazette