SALAHUDDIN AYUB

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (PAN) menyambut baik Kesediaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang mahu menyertai Pakatan Harapan.

Menerusi kenyataan malam ini, Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, pengumuman itu ia pasti akan mengukuhkan lagi pakatan pembangkang.

“Kami yakin dan percaya langkah ini diambil setelah membuat pertimbangan yang tuntas ‘Demi Negara’,” katanya.

Beliau mengulas mengenai pengumuman PPBM menerusi kenyataan Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini bahawa parti itu secara rasmi mengumumkan penyertaannya menjadi sebahagian daripada Pakatan Harapan.

Salahuddin berkata, sudah tiba masanya untuk melangkah gagah bagi merealisasikan harapan rakyat.

“Sudah tentu ia akan memperkukuhkan lagi usaha kita bersama untuk ‘Menyelamatkan Negara dan Mensejahterakan Rakyat’,” ujarnya.

Pada sidang media petang tadi, Dr Mahathir mengumumkan pemimpin PPBM sebulat suara bersetuju untuk membentuk gabungan rasmi dengan Pakatan Harapan (PH).

Di bawah cadangan itu, semua tiga parti komponen PH, bersama dengan PPBM akan menyertai pilihan raya umum (PRU) akan datang di bawah satu logo, satu manifesto, dan seorang calon bagi setiap kerusi yang mereka putuskan untuk bertanding.

Cadangan itu masih belum dibentangkan kepada PH, tetapi Pengerusi PPBM itu memberitahu bahawa gabungan tiga pihak itu sudah tahu mengenainya. – MalaysiaGazette