KUALA LUMPUR – Terbitan bon bersih di Malaysia dijangka bernilai RM80 bilion pada tahun ini.

BankNegara Malaysia (BNM) berkata, pasaran bon tempatan terus berkembang dengan nilai semasa sebanyak RM1.2 trilion atau 90 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Tumpuan harus diberikan kepada mempelbagaikan asas pelabur, mempunyai komposisi pelabur yang stabil dan peningkatan ketelusan yang akan mengukuhkan kestabilan pasaran,” kata Adnan Zaylani Mohamad Zahid, Penolong Gabenor BNM dalam satu kenyataan di sini.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh perbincangan meja bulat berhubung Pembangunan Pasaran Bon Domestik di Sasana Kijang.

Menurut beliau, saiz relatif pasaran bon Malaysia kepada KDNK masih kekal terbesar di Asia Tenggara dan ketiga terbesar di Asia.

Malah terdapat pelbagai pelabur dalam pasaran bon Malaysia temasuk dana pencen, syarikat-syarikat pengurusan aset, insurans dan pelabur bukan warga negara.

Hasil bon korporat juga stabil dengan dalam tempoh Januari-Mac tahun ini pasaran bon korporat adalah lebih kondusif bagi penerbit dengan RM8 bilion yang dijana dan beberapa penerbit korporat dalam perancangan untuk akses pasaran pada tahun 2017. – MalaysiaGazette