BANDUNG – Bekas bintang Chelsea, Michael Essien membuat kejutan apabila memilih Liga Super Indonesia untuk meneruskan kaier bola sepaknya.

Pemain kelahiran Ghana itu menyertai pasukan Persib Bandung yang bersaing dalam Liga Super Indonesia dan kehadiran Essien disahkan melalui Twitter rasmi kelab itu.

Wilujeng sumping! Michael Essien resmi jadi sebahagian keluarga besar Persib,” tulis akaun @persib.

Akuan Twitter itu juga memaklumkan Essien akan menggunakan jersi bernombor lima bersama kelab berkenaan.

Bagaimanapun, tiada maklumat mengenai gajinya bersama pasukan gergasi Indonesia itu.

Sebelum ini media Indonesia melaporkan, bekas pemain Lyon itu juga sudah berada di Jakarta sejak akhir minggu, sekali gus menguatkan tanggapan dia akan bergabung dengan Persib.

Kemunculan pemain itu sudah tular di media sosial dengan kemunculan gambar-gambarnya berada di sebuah pusat beli-belah di Senayan, Jakarta Selatan.

Selepas meninggalkan The Blues, pemain kelahiran Ghana itu berkhidmat di Real Madrid secara pinjaman selama satu musim sebelum ke AC Milan (Itali) dan Panathinaikos (Greece).

 

Karier Essien di Eropah ternyata kurang lancar selepas hubungan antara Essien dan Panathinaikos tidak berjalan dengan baik. Dia hanya bertahan satu musim di kelab itu.

Essien bergabung dengan Panathinaikos sejak Jun 2015. Namun, pemain tengah berusia 34 tahun itu gagal memenuhi harapan kelab susulan kecederaan panjang dialaminya.

Susulan itu, Panathinaikos memecat Essien pada musim panas 2016 walaupun masih mempunyai kontrak sehingga dua musim akan datang.

Namun, rekod paling cemerlangnya adalah ketika bersama Chelsea. Dia berjaya membantu pasukan meraih trofi Liga Perdana Inggeris, Piala FA dan Liga Juara-juara. – MalaysiaGazette