Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR – DAP kelihatan semakin tertekan dan tidak tentu arah kini apabila kesemua strategi mereka kini umpama senjata makan tuan.

Pengarah Jabatan Penerangan Pas Pusat, Ahmad Amzad Hashim berkata, Penasihat DAP, Lim Kit Siang merupakan orang paling tersepit.

“Durjana paling besar DAP kerana menyinggung hal ehwal berkaitan Islam dengan semarak keangkuhan dan memperalatkan segelintir pemimpin Islam yang diperkudakan tawaran keduniaan. Juga sikap memaksa pihak lain tunduk kepada kehendak mereka.

“Terbaru digesanya akar umbi Pas supaya menolak Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Ternyata Kit Siang mengalami sakit jiwa dan fikiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Amzad, DAP cuba menghulur semula salam perdamaian kepada Pas beberapa bulan lalu yang konon untuk berpadu menentang teraju BN.

Kecewa tidak bersambut, Kit Siang mahu pula menyaman Presiden Pas dan ketika sama cuba berkerjasama dengan MCA dan Gerakan yang dimusuhinya dahulu selain mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Kit Siang resah momokan kreptokrasinya tidak dimamah rakyat Malaysia. Lebih sengsara melihat kejayaan besar penganjuran Himpunan Menyokong RUU Pindaan Akta 355 di Padang Merbok yang sebenarnya merakam kedudukan penerimaan masyarakat terhadap Pas,” katanya.

Pas, katanya, semakin diterima dengan keahlian kian bertambah pesat sementara DAP pula kehilangan pimpinan dan ahli sedangkan Parti Amanah Negara yang ‘dikhadamkannya’ semakin kartun serta gempita sahaja lebih. – MalaysiaGazette