Pengundi-pengundi membuat semakan di kaunter semak daftar pemilih sebelum masuk ke bilik mengundi. - Gambar hiasan

PETALING JAYA – Persempadanan semula yang dijalankan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menyebabkan lebih banyak kawasan yang dianggap sebagai ‘kelabu’ oleh pembangkang bertukar menjadi ‘hitam’.

Selain itu, persempadanan oleh SPR, menurut pembangkang, juga akan mewujudkan kawasan ‘ultra putih’ yang senang dimenangi.

Ketua Informasi Pilihan Raya PKR, Chan Ming Kai berkata, persempadanan SPR akan ‘memadat’ pengundi Cina ke dalam satu kawasan sekali gus menyebabkan kawasan putih pembangkang menjadi ‘ultra putih’.

Ming Kai berkata, sesetengah kawasan akan mencatatkan sehingga 80 peratus pengundi Cina apabila pengundi kaum sama dari kawasan berhampiran ditumpukan ke dalam satu kawasan.

Katanya, kerusi Canning di Ipoh, Perak sebelum ini merupakan ‘kawasan unik’ kerana mempunyai pengundi Cina yang mencecah 75 peratus, tetapi peratusan pengundi kaum itu akan melonjak ke 80 peratus selepas persempadanan semula.

Ming Kai mendakwa keadaan itu berlaku kerana undi tentera di Canning telah dimasukkan ke dalam kerusi Hulu Kinta di kerusi Parlimen Tambun.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Indera Kayangan, Perlis itu, kerusi Parlimen Kota Melaka yang merupakan kubu DAP akan menjadi lebih sukar ditembus Barisan Nasional (BN) apabila lebih banyak pengundi Cina dimasukkan ke kawasan itu dari kerusi Parlimen Bukit Katil.

Beliau berkata, kerusi Parlimen Bukit Katil yang kini disandang Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Akin pula akan bertukar dari kawasan kelabu ke hitam apabila mengambil kira pengurangan pengundi Cina sebanyak tujuh peratus.

Katanya, persempadanan semula akan menyebabkan kerusi Lembah Pantai di Kuala Lumpur yang kini disandang seorang lagi Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menjadi kawasan hitam pembangkang yang sukar dimenangi.

Pembangkang bagaimanapun akan mengekalkan kemenangan di Seputeh dan Cheras, juga di Kuala Lumpur, yang dilihat sebagai kubu kuat DAP. – MalaysiaGazette