Lim Guan Eng

MELAKA – Hubungan antara Ketua Menteri Pulau Pinang dengan media menjadi kurang mesra tidak kira di utara mahu di selatan Semenanjung.

Selepas disaman di Pulau Pinang oleh seorang wartawan, pengamal media di Melaka pula bertindak mengenakan pakaian berwarna hitam sebagai tanda protes ke atas kenyataan Setiausaha Agung DAP itu.

Sinchew Daily melaporkan, wartawan yang membuat liputan dalam satu majlis makan malam anjuran DAP Melaka pada Jumaat telah mengenakan pakaian hitam sebagai usaha mempertahankan maruah dan profesional pengamal media.

Tindakan protes itu diambil susulan tindakan Guan Eng yang melabelkan empat akhbar bahasa Cina sebagai “Media Barisan Nasional (BN)” , tanpa menamakan surat khabar atau agensi media berkenaan.

Guan Eng mula menggunakan frasa “Media BN” untuk merujuk akhbar bahasa Cina tertentu kerana beliau tidak berpuas hati dengan laporan mengenai 182 ahli DAP Melaka yang mengikut jejak empat wakil rakyat untuk meninggalkan parti.

Dalam majlis makan malam pada Jumaat, Guan Eng dalam ucapannya sekali lagi mengulangi “Media BN” sebanyak beberapa kali, walaupun tidak menamakan agensi media berkenaan secara spesifik.

Guan Eng antaranya mendakwa “Media BN” cuba memburuk-buruknya walaupun beliau tidak melakukan kesilapan. Pemimpin DAP itu turut menyeru suraya jangan mempercayai laporan “Media BN”.

Dalam majlis tersebut, Ketua DAP Melaka, Tek Kok Kiew menyatakan bahawa pemimpin pusat DAP tetap bersatu walaupun sebanyak 182 ahli di Melaka memilih meninggalkan parti.

Kok Kiew mengambil peluang menyindir MCA kerana sering berlaku perpecahan dan pertelingkahan antara presiden dan timbalan presiden parti.

Sebelum ini, Ong Beng Siang, pemberita Guang Ming Daily memfailkan saman fitnah terhadap Guan Eng di Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang.

Beng Siang, 40, berkata beliau bertindak demikian untuk “membersihkan nama dan maruahnya serta rakan-rakan wartawan”.

Guang Eng pada 22 Januari lalu dilaporkan berkata di Facebook bahawa terdapat pemberita yang mahu mencemarkan reputasi kerajaan Pulau Pinang. – MalaysiaGazette