Mustapa berpuas hati dengan kempen calon BN Kelantan dan setakat ini tidak berlaku kekacauan.
Mustapa berpuas hati dengan kempen calon BN Kelantan dan setakat ini tidak berlaku kekacauan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan percaya hasrat DRB-Hicom Bhd. untuk memuktamadkan pencarian rakan kongsi strategik asing (FSP) kepada Proton Holdings Bhd. mampu dicapai mengikut sasaran awal iaitu pada pertengahan tahun ini.

Ini kerana masih terdapat beberapa syarikat yang berminat dengan Proton meskipun Geely Automobile Holdings mengambil keputusan untuk menarik diri.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan tidak masuk campur di dalam hal tersebut namun percaya DRB-Hicom dan Proton akan membuat keputusan yang terbaik.

“Saya ada membaca laporan tersebut dan Proton akan membuat keputusan yang terbaik.

“Masih terdapat beberapa syarikat yang berminat jadi sekarang ini (dengan penarikan diri Geely) kadar persaingan menjadi lebih kecil,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai penarikan diri Geely yang dikatakan pembida paling berpotensi untuk menjadi rakan strategik asing Proton di sini hari ini.

Presiden Geely, An Conghui memberitahu, South China Morning Post, syarikat tersebut telah menarik diri daripada bidaan untuk mengambil alih pegangan saham Proton kerana keuntungan syarikat pemilik jenama Volvo itu telah melonjak sebanyak 126 peratus kepada 5.1 bilion yuan (RM3.3 bilion).

Geely dilihat pembida pilihan untuk mengambil alih Proton di samping pengeluar kereta kedua terbesar Eropah Groupe PSA yang turut memiliki jenama Citroen, Peugeot dan DS.

Meskipun tidak menyatakan sebab penarikan tersebut, Pengerusi Geely Li Shufu dalam satu temubual dengan Bloomberg awal bulan ini pernah memberitahu, Proton tidak pasti apa yang dimahukannya daripada rakan kongsi asing.- MalaysiaGazette