Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

KUALA LUMPUR- Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail akan mengemukakan surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia berhubung larangan membuat liputan di lobi Dewan Rakyat.

Antara isi kandungan surat berkenaan adalah bagi memohon pengurusan Dewan Rakyat menarik balik larangan berkenaan agar memudahkan wartawan untuk membuat liputan di perkarangan Parlimen.

“Pertama, kami mohon Yang Dipertua Dewan Rakyat menimbang keputusan larangan terhadap wartawan.

“Kedua, kami mohon buat konsultasi antara pihak media dengan Dewan Rakyat,” katanya dalam satu sidang media di pejabatnya hari ini.

Surat berkenaan katanya akan dihantar kepada Pandikar hari ini.

Pandikar sebelum ini membuat arahan agar semua wartawan dan media dilarang untuk berada di lobi Dewan Rakyat bagi mendapatkan reaksi daripada mana-mana ahli parlimen mahu pun menteri.

Tindakan itu diambil selepas beliau mengambil kira aduan diterima daripada ahli-ahli Parlimen yang menzahirkan rasa kurang selesa dengan tindakan pihak media menyerbu mereka untuk mendapatkan komen berkenaan sesuatu isu, katanya. -MalaysiaGazette.