Taklimat mengenai cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) di Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 16 JANUARI 2017. - Gambar hiasan

PUTRAJAYA – DAP dan MCA harus mencapai persefahaman berkenaan Rang Undang-Undang 355 yang menjadi kebimbangan masyarakat Cina.

Presiden Gabungan Pertubuhan Cina, Tan Sri Pheng Yin Huah berkata, kedua-dua parti itu yang masing-masing beridentitikan parti komponen Barisan Nasional (BN) dan pembangkang perlu menyuarakan pendirian masyarakat Cina.

Beliau berkata, sebagai parti yang melambangkan masyarakat Cina, mereka perlu duduk berbincang mengenai RUU355 yang menjejaskan kaum itu, supaya suara berkenaan dapat disampaikan secara lebih menyeluruh.

Yin Huah juga tidak bersetuju dengan ‘pemotongan’ timur dan barat apabila dikhabarkan bahawa Sabah dan Sarawak ‘dikecualikan’ daripada melaksanakannya jika RUU 355 diluluskan di Dewan Rakyat.

Katanya, keadaan itu seakan-akan mewujudkan dua sistem pemerintahan berbeza di bawah satu negara yang sama.

“Hua Zong membatah kerana ia seakan-akan seseorang boleh memilih satu daripada dua akta apabila dia melakukan kesalahan.

“Apa yang penting ialah Perlembagaan, ia tidak harus bertentangan dengan Perlembagaan,” katanya seperti dipetik Sinchew Daily.

Akhbar itu sebelum ini melaporkan, UMNO telah membuat perubahan ke atas RUU 355 yang diambil alih daripada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Antaranya, RUU 355 terhad kepada Semenanjung iaitu tidak akan dilaksanakan di Sabah dan Sarawak.

UMNO juga dilaporkan bercadang menaikkan denda maksimum di bawah Akta 355 daripada RM5,000 kepada RM50,000. Cadangan Abdul Hadi sebelum ini ialah RM100,000.

Walaupun MCA dan DAP masing-masing berpendirian untuk membantah RUU 355, tetapi tiada sebarang tanda kerjasama antara dua parti politik itu.

Pada ketika DAP menuding hubungan MCA dengan UMNO, MCA pula mempertikaikan bagaimana DAP membantu kemenangan Pas dalam pilihan raya lalu.

Ditanya sama ada Huazong menerima RUU 355 oleh UMNO, Yin Huah berkata, semua perkara harus berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan peguam-peguam Hua Zong memerlukan masa untuk meneliti perkara berkenaan.

Beliau bagaimanapun berkata, pengecualian Sabah dan Sarawak daripada RUU 355 menunjukkan usul RUU itu merupakan satu agenda politik. – MalaysiaGazette