DALAM kehidupan seharian kita akan jatuh sakit, selalunya kita akan mencari punca kenapa kita boleh jatuh sakit?

Ada yang menyatakan ianya disebabkan oleh keadaan cuaca dan sebagainya tetapi ramai yang tidak tahu kita akan jatuh sakit jika terdapat elemen tertentu dalam badan yang tidak stabil yang akan menyebabkannya.

Sebagai contoh apabila kita mengalami stress secara berterusan ditempat kerja secara tidak sedar tetiba kita akan mengalami sakit kepala yang amat sangat sehingga ada sesetengahnya yang teruk sehingga ianya mendapat demam.

Jadi apakah elemen penting dalam badan kita yang menentukan kita kekal sihat atau sebaliknya?

Terdapat lima elemen asas yang sepatutnya berada dalam keadaan seimbang iaitu diet yang sihat,rehat yang cukup, aktiviti luaran iaitu senaman yang mencukupi, mengendalikan stress dan kesimbangan hormon.

Kelima-lima faktor asas ini penting bagi kita untuk menjamin kita kekal sihat daripada penyakit akut seperti selsema atau cirit-birit mahupun penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi dan serangan jantung.

Daripada segi diet yang seimbang, ada beberapa perkara yang harus diketahui oleh kita semua.

Ada makanan akan menyebabkan badan mengalami inflamasi iaitu kerosakan sel badan dan ada makanan yang akan memperbaiki inflamasi iaitu bertindak sebagai bahan mentah untuk sesuatu pemulihan itu boleh berlaku.

Antara bahan makanan yang perlu dielakkan adalah gula kerana ia adalah racun untuk sel tubuh badan.

Walaupun gula memberi kita tenaga tetapi ianya juga membentuk kolesterol jahat yang akan menyebabkan penyumbatan salur darah.

Begitu juga dengan kandungan fruktosa yang terdapat dalam gula terutama gula putih akan dipecahkan dalam badan menjadi asid urik seterusnya menyebabkan gout.

Pengambilan gula yang berterusan juga akan menyebabkan badan kita mengalami keletihan fungsi hormon insulin seterusnya menyebabkan insulin tidak berfungsi.

Keadaan ini dipanggil kerintangan insulin (Insulin resistant), walaupun insulin tinggi dalam badan tetapi ia masih tidak dapat menerap gula dalam darah ke sel seterusnya menyebabkan pesakit mengalami kencing manis.

Fruktosa yang berlebihan juga akan merencat enzim nitrik oksida yang mengawal tekanan darah kita. Pengurangan enzim tersebut juga akan menyebabkan kita mengidap penyakit darah tinggi.

Selain daripada itu proses pemecahan fruktosa dalam sel-sel badan akan menghasilkan trigliserat yang tinggi seterusnya akan mengakibatkan risiko penyumbatan salur darah yang boleh mengakibatkan kejadian strok ataunpun serangan jantung.

Dengan fakta-fakta yang mengerikan seperti di atas adalah wajar gula harus dielakkan dalam pengambilan diet seharian.

Antara bahan makanan yang perlu dielakkan adalah minuman dalam tin, bergas dan kotak, bahan makanan yang diproses seperti biskut yang mempunyai gula serta hidangan bergula seperti kuih-muih.

Bahan makanan yang kedua yang harus dikurangkan adalah karbohidrat seperti nasi, gandum, roti, mi, ubi dan oat kerana selain ia memberikan tenaga untuk tubuh badan ada sebahagian kecil proses pemecahan karbohidrat membentuk trigliserat.

Akan tetapi sebahagian besar tenaga berlebihan disimpan dalam badan dalam bentuk glikogen iaitu makanan simpanan yang diperlukan semasa kita berpuasa.

Kadar yang berpatutan dalam pengambilan seharian adalah dalam sukatan dua cawan sahaja.

Bahan makanan yang harus diambil banyak pula adalah sayur-sayuran terutama sayuran hijau seperti bayam, tomato dan timun.

Sayur-sayuran mempunyai vitamin dan mineral yang banyak diperlukan oleh tubuh badan.

Buah-buahan pula boleh diambil tetapi dalam kuantiti yang sedikit seperti hanya sebiji epal boleh diambil di waktu pagi kerana selain ianya mempunyai vitamin dan serat buah juga ada kandungan fruktosa didalamnya.

Bahan makanan berprotein seperti telur, ikan, makanan laut daging dan ayam pula harus diambil dalam kuantiti yang banyak kerana badan kita selalunya mengalami kerosakan dalam aktiviti seharian perlukan bahan mentah dalam proses membaik pulih tubuh badan.

Bahan protein yang mengandungi asid lemak Omega 3 yang tinggi amat digalakkan kerana proses pemulihan sel akan lebih baikdengan kehadirannya seperti ikan laut makanan laut, telur omega 3, telur ayam kampung, ayam organik atau ayam kampung serta ternakan yang memakan rumput.

Bahan makanan seterusnya yang harus diambil dengan banyaknya ialah lemak sihat.

Ramai orang menyangka pengambilan lemak akan menyebabkan penyumbatan salur darah.

Sebenarnya dengan mengambil lemak sihat seperti santan dan bahan makanan kaya omega 3 tidak menyebabkan penyumbatan salur darah tetapi ianya diperlukan untuk meningkatkan hormon dalam badan.

Ini adalah kerana bahan mentah untuk semua hormon dalam badan adalah kolesterol, begitu juga otak kita 90 peratus adalah lemak sihat.

Jadi untuk mengekalkan hormon kita serta fungsi otak pada tahap optimum, maka kita kena mengambil lemak sihat setiap hari dalam kuantiti yang optima juga.

Dengan pemakanan sahaja sudah menunjukkan kenapa kita mudah jatuh sakit – kita jatuh sakit disebabkan makanan dan kembali sihat jika tahu makanan terbaik untuk diambil.

Dengan ini boleh dikatakan piramid makan yang sedia ada yang mengutamakan pengambilan bijirin dan karbohidrat yang banyak adalah salah.

Seharusnya ianya harus dimulakan dengan pengambilan air yang banyak bagi memudahkan sistem tranportasi badan yang menghantar bahan mentah seperti protein, lemak sihat dan karbihdrat ke sel-sel tubuh yang memerlukan.

Terdapat empat lagi elemen yang diperlukan untuk memastikan badan kita kekal sihat iaitu rehat yang cukup iaitu tidur yang panjang selama lapan jam.

Dewasa ini dengan kehidupan moden yang banyak menggunakan masa kita untuk mencari nafkah seharian meyebabkan fator kedua ini sukar dipenuhi. Begitu juga dengan faktor senaman, kawalan stres dan keseimbangan hormone perlu juga dititikberatkan.

Faktor-faktor ini akan diterangkan dalam episod seterusnya.

Dengan keseimbangan elemen-elemen diatas kita bukan menidakkan rawatan perubatan moden seperti ubat-ubatan yang masih diperlukan jika kita jatuh sakit. Ianya hanya sebagai langkah pencegahan untuk mengelak daripada jatuh sakit.

Bak kata perpatah, mencegah adalah lebih baik dari merawat. Semoga ianya bermanfaat untuk kita semua kearah kesihatan yang lebih baik.- MalaysiaGazette

Dr Zaidi-latest
Artikel ini ditulis oleh Dr. Norzaidi Zakaria. Beliau adalah Biro Media Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim).