KUALA LUMPUR – Anak angkat penyanyi Azharina dilaporkan kritikal selepas terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan akibat diserang demam panas sejak semalam.

Azharina menerusi Instagram miliknya hari ini memberitahu, Rizqie Azharin Azhar yang berusia 22 hari itu telah disahkan mengalami pendarahan otak manakala kedua-dua buah pinggangnya rosak.

Rizqie kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Putrajaya dekat sini.

“Semasa saya bawa dia ke hospital selepas persembahan di Hard Rock Cafe dia masih boleh bernafas namun sekarang hanya bergantung kepada mesin oksigen malah jantungnya juga dipam.

“Selain pendarahan otak, buah pinggang kiri dan kanan sudah rosak, darah dia juga menunjukkan asid yang tidak sesuai untuk manusia terus hidup,” tulis juara Gegar Vaganza musim ketiga itu.

Azharina bersama Rizqie (dalam pangkuan) dan anak angkat pertamanya, Rahmat. 

Dalam pada itu, Azharina meluahkan rasa hatinya yang hancur apabila melihat keadaan anaknya itu dan memohon agar diberi ruang untuk bersama bayinya itu.

“Saya sudah tidak berdaya dan mohon bagi saya masa menguruskan anak sehingga saat akhirnya.

“Sebagai ibu hati saya hancur dan sedih kerana saya adalah ibu dan ayah buat anak-anak tetapi saya juga seorang wanita rapuh dan tidak sempurna.

“Hanya doa dan air mata yang ada buat masa ini dan maafkan saya kerana tidak menjawab panggilan sebab kini berada di hospital,” katanya.

Selain Rizkie, Azharina turut mempunyai seorang lagi anak angkat iaitu Rahmat Azharin Azhar Abdullah yang kini berusia 3 tahun. – MalaysiaGazette