Fasha Sandha

KUALA LUMPUR – Pelakon Fasha Sandha memfailkan perintah injuksi Mahkamah Tinggi Syariah di sini bagi menghalang bekas suaminya, Rizal Ashram Ramli daripada terus mengganggu privasinya.

Menerusi permohonan itu, Fasha memohon agar Rizal, sebagai responden, tidak mengganggunya secara percakapan, termasuk mesej melalui SMS, aplikasi Whatsapp atau di laman sosial berkuatkuasa serta merta.

Selain itu, Fasha mendapat perintah mahkamah supaya menghalang responden daripada menceroboh privasinya sama ada secara bersendirian, ditemani keluarga atau rakan-rakan.

Bagaimanapun mahkamah menolak untuk mendengar permohonan injuksi pencegahan secara ex-parte (sebelah pihak) yang dibuat pelakon itu.

Sebaliknya, Hakim Syarie, Muhammad Abdul Karim Wahab memerintahkan kes itu didengar dengan kehadiran dua belah pihak bagi membolehkan Jejai menjawab sendiri tuduhan yang dibuat terhadapnya.

“Walaupun mahkamah berpuas hati dengan afidavit yang difailkan pemohon namun adalah lebih adil mahkamah memberi peluang kepada responden sendiri untuk menjawab semua dakwaan,” katanya memetik laporan mStar Online hari ini.

Fasha atau nama sebenarnya Nur Fasha Sandha Hassan, 33, diwakili peguam syarie Zulkifli Che Yong.

Sementara itu, pada prosiding sama, Fasha turut memohon notis tunjuk sebab terhadap Rizal selepas dia dikatakan gagal mematuhi perintah mahkamah yang dikeluarkan pada 20 Januari tahun lalu berhubung pelantikan pemegang amanah terhadap sebuah kediaman di Ampang, Selangor.

Menerusi afidavit dikemukakan itu, Rizal didakwa gagal melaksanakan perintah itu dengan tidak menandatangani surat ikatan pemegang amanah seperti dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak.

Dalam perintah tersebut, Fasha mendapat hak sebanyak 50 peratus terhadap rumah itu manakala selebihnya milik dua anak mereka.

Muhammad Abdul Karim berpuas hati dengan permohonan itu dan memerintahkan notis tunjuk sebab diserahkan kepada defendan dan menetapkan 17 April sebutan semula kedua-dua kes itu.

Fasha dan Jejai bernikah pada 27 April 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Putra Rayfal yang berusia tiga tahun dan Putri Raysha Jemyma, dua tahun.

Bagaimanapun pasangan itu sah bercerai pada 20 Januari 2016. – MalaysiaGazette