Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa (tengah) melawat dan melihat ruang di dalam rumah contoh selepas Majlis Perasmian Kompleks Kediaman Kakitangan Awam (KKKA) Jalan Cochrane di Cheras, Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 28 MAC 2017

KUALA LUMPUR – Kakitangan awam di negara ini dinasihati supaya jangan bersikap seperti ‘kacang lupakan kulit’, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa.

Beliau mahu penjawat awam menumpukan usaha menyokong aspirasi kerajaan menyampaikan perkhidmatan berproduktiviti tahap terbaik kepada rakyat.

“Janganlah kita bertindak dan bersikap ‘kacang lupakan kulit’ dengan terpengaruh kepada dakyah-dakyah pihak tidak bertanggungjawab sehingga menjejaskan prestasi penyampaian dan imej kerajaan.

“Kerajaan sebenarnya menyediakan banyak kemudahan dan skim untuk kesejahteraan penjawat awam dan ia perlu hargai dan dibalas dengan sistem penyampaian bertaraf global,” ujarnya selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Kompleks Kediaman Kakitangan Awam (KKKA) Jalan Cochrane di sini hari ini.

Menurut Ali, penyediaan KKKA hari ini merupakan satu lagi testimoni dan komitmen kerajaan mengutamakan kebajikan penjawat awam.

Menurutnya, KKKA Jalan Cochrane merupakan perumahan dibangunkan semula menggantikan kuarters lama Jalan Cochrane yang digunakan sejak 1930-an lagi.

“Pembinaan semula 896 unit Kuarters Kelas G oleh kerajaan atas tapak tanah kuarters lama seluas 3.6 hektar bagi memberi kehidupan selesa kepada penjawat awam.

“Kuaters lama sebelum ini uzur dan tidak lengkap kemudahan sehingga menyukarkan mereka.

“Kuarters berwajah apartmen ini lengkap dan selesa setanding projek perumahan apartmen lain di Kuala Lumpur,” katanya.

 

Pada majlis hari ini seramai 261 penjawat awam yang majoritinya bertugas di ibu negara akan menghuni kompleks berkenaan.

Projek itu dibina oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera dengan kos RM220 juta.

Selain itu, kompleks itu dilengkapi lapan unit Kuaters Orang Kelainan Upaya, dewan serbaguna berkapasiti 500 orang, surau memuatkan 300 jemaah, taska, tadika, taman permainan kanak-kanak dan ruang letak kenderaan.

“Penghuni di sini hanya dikenakan sewa menerusi potongan elaun serendah RM377 sahaja sebulan untuk menduduki setiap satu unit yang ada tiga bilik tidur dan dua bilik air berkeluasan 1,000 kaki persegi manakala penyelenggaraan ditanggung kerajaan sepenuhnya,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Ali berkata, penyediaan kuarters hanyalah sebagai satu penyelesaian sementara bagi membantu penjawat awam mengurangkan kos sara hidup.

Bagi tempoh jangka panjang, kerajaan akan mencari jalan membantu penjawat awam membeli rumah sendiri seterusnya menggalakkan mereka memiliki sebahagian ekuiti dalam pembangunan negara.

“Kita mempunyai 146 unit kuarters yang akan dibangunkan untuk penjawat awam selepas ini dikawasan berhampiran Jalan Cochrane , tegasnya.-MalaysiaGazette