Razali Ibrahim

KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim memberitahu Dewan Rakyat hari ini sebanyak RM5.2 juta sudah dibelanjakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam proses persempadanan semula kawasan pilihan raya di seluruh negara yang bermula tahun lalu.

Razali memberitahu pada 2016 sebanyak RM3.9 juta dibelanjakan SPR dan sebanyak RM1.3 juta pada 2017 sudah digunakan sepanjang proses persempadanan yang mula dijalankan sejak Mac tahun lalu itu.

“Tahun lepas RM3.9 juta, tahun ini baharu RM1.3 juta, maknanya ia tak besar, ia tanggungjawab kita dan kita akan buat, tidak ada masalah tentang itu,” kata Razali menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad semasa perbahasan peringkat jawatankuasa Usul Anggaran Perbelanjaan Mengurus Tambahan Pertama 2016.

Terdahulu, SPR memohon peruntukan tambahan sebanyak RM62.8 juta.

Razali kemudiaan menjelaskan proses persempadanan yang dijalankan oleh SPR adalah mengikut seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Persempadanan ini adalah tuntutan Perlembagaan, sebenarnya sudah berlaku kelewatan, kita tak boleh kerana nak jimat perbelanjaan kita tak perlu buat.

“Tapi ini mesti mengikut peruntukan Perlembagaan dalam tempoh tertentu perlu buat semakan maka SPR perlu menjalankan apa yang termaktub dalam Perlembagaan tetapi kita ambil kira kalau ada kes mahkamah, arahan mahkamah dan sebagainya kita terpaksa untuk menelitinya,” kata beliau.

SPR sepatutunya melakukan kajian persempadanan semula pada 2011 namun ditangguhkan bagi memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada 2013.

Berdasarkan Perkara 113(2)(ii) Perlembagaan Persekutuan, persempadanan semula boleh dilakukan selepas tempoh lapan tahun persempadanan kali terakhir tamat dan dalam kes ini adalah pada 2003.

SPR pada awal Mac lalu mempamerkan syor persempadan semula kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) tanpa memasukkan DUN Selangor selepas negeri itu mencabar persempadanan semula di mahkamah tinggi. – MalaysiaGazette