KUALA LUMPUR – Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) meminta kerajaan-kerajaan untuk mencari alternatif kepada larangan terhadap penggunaan barangan elektronik di sesetengah penerbangan.

Amerika Syarikat dan United Kingdom baru-baru ini melarang penggunaan barangan elektronik besar seperti komputer riba dan tablet di dalam sesetengah penerbangan yang berlepas daripada Asia Barat dan Afrika Utara.

Dalam satu kenyataannya, Ketua Pegarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA, Alexndre de Juniac berkata, langkah terbaharu itu tidak diterima sebagai penyelesaian jangka panjang untuk mengurangkan sebarang ancaman.

“Sedangkan untuk tempoh pendek, sukar untuk difahami sejauh mana ia berkesan di samping mengganggu elemen komersial,”jelasnya.

Dengan itu beliau meminta semua kerajaan untuk bekerjasama dengan pemain industri bagi mencari jalan penyelesaian yang membolehkan penerbangan dilakukan dengan selamat tanpa memisahkan penumpang dengan barangan elektronik peribadi mereka.

“Bagaimana komputer riba selamat di dalam kabin sesetengah penerbangan tetapi dikatakan membahayakan dalam penerbangan lain pula, termasuk penerbangan yang berlepas keluar dan masuk daripada lapangan terbang yang sama.

“Pastinya ada acara untuk memeriksa peralatan elektronik tersebut secara efisyen,” katanya.

Tegasnya, cara terbaik perlu dicari dan beliau menyeru supaya perkongsian maklumat yang lebih baik dan koordinasi ke atas langkah-langkah keselamatan di antara kerajaan dan industri.

“Kerajaan mempunyai tanggungjawab utama terhadap keselamatan dan kami berkongsi kepentingan tersebut demi memastikan keselamatan penumpang, anak kapal dan pesawat terjamin.

“Langkah perlu dikongsi di antara kerajaan dan industri kerana ia satu-satunya cara untuk menghentikan keganasan sebelum mereka menghampiri lapangan terbang, apatah lagi pesawat,” katanya. – MalaysiaGazette