Shaiful Haziziy

ALOR SETAR – Guru seharusnya diberi ruang dan kebebasan untuk menyatakan pandangan kepada kerajaan namun ianya perlu dibuat didalam keadaan yang berhemah, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy bin Zainol Abidin.

Menurutnya, zaman sesebuah kerajaan ‘tahu semua’ telah pun berakhir di mana pandangan dan teguran kerajaan perlu diambil perhatian dengan sewajarnya.

“Pemuda UMNO Kedah juga yakin kerajaan perlu menyediakan pelbagai medium dan ruang utk menerima pandangan daripada rakyat.

“Tidak dapat dinafikan ada pandangan dan teguran rakyat ada kebenarannya namun kerajaan harus diberi ruang juga untuk memberi penjelasan atas rasional sesuatu pelaksanaan dan tindakan.

“Apa yang menjadi kebimbangan Pemuda Kedah adalah wujudnya unsur-unsur ketaksuban dan ekstrem dalam kalangan para guru yang gemar mengambil fakta separuh masak untuk dijadikan sebagai pegangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shaifol Hazizy memberitahu, wujudnya perubahan yang amat besar dalam amalan berpolitik pada ketika ini dimana pelbagai forum dan perubahan akta telah membenarkan rakyat dapat memberi pandangan terus kepada kerajaan.

“Pemuda UMNO Kedah yakin kenyataan Menteri Pendidikan hanya kepada guru yang ektsrem dan tertutup mindanya. Hakikatnya masih ramai guru diluar sana yang masih ikhlas dan mahu melihat negara ini bergerak ke hadapan dan maju pada masa akan datang.

“Yakinlah, kerajaan masih menaruh kepercayaan kepada guru utk terus menjadi rakan pembangunan dan agen perubahan,” katanya.-MalaysiaGazette