Ilustrasi artis Seri Tanjung Pinang Fasa 2

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP) mengambil alih pegangan dalam projek utama Eastern & Oriental Bhd. (E&O) di Pulau Pinang dan menguasai sejumlah besar kepentingan ekuiti syarikat pemaju tersebut dalam satu urusniaga bernilai RM887.8 juta.

Di bawah perjanjian berkenaan, KWAP akan membeli sebanyak 20 peratus fasa kedua projek Seri Tanjung Pinang milik E&O iaitu sebuah perbandaran yang dibina di atas tanah tebus guna dengan anggaran nilai pembangunan kasar sebanyak RM17 bilion.

Selain daripada mengambil alih kepentingan di dalam projek pembangunan, KWAP juga melanggan 66.1 juta saham baharu E&O.

Harga bagi saham-saham tersebut adalah di antara RM1.84 dan RM1.94 sesaham yang memerlukan KWAP membayar sebanyak RM121.6 juta.

Urusniaga tersebut memberikan KWAP tambahan sebanyak 5.26 peratus kepentingan di dalam E&O yang akan meningkatkan saham entiti tersebut kepada 6.75 peratus.

“E&O mencatatkan kejayaan di dalam industri selain mempunyai kualiti penyampaian yang akan memastikan kejayaan projek ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Wan Kamaruzzaman Wan Ahmad di dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan E&O, Kok Tuck Cheong berkata, hasil daripada penjualan saham tersebut akan digunakan untuk kerja-kerja tebus guna tanah dan infrastruktur selain akan digunakan sebagai modal kerja dan pembayaran pinjaman.-MalaysiaGazette