Shaiful Hazizy PRU
Shaiful Hazizy Zainol Abidin

ALOR SETAR – Pergerakan Pemuda UMNO Kedah yakin Perdana Menteri ikhlas agar RUU355 tetap dibentangkan untuk dibahaskan walaupun ia bersifat usul persendirian.

“Hakikatnya pihak kerajaan boleh daripada mula lagi menghalang usul ini tetapi demi Islam dan usaha memartabatkan mahkamah syariah kita telah memberi laluan kepada Presiden Pas untuk membuat pembentangan awal.

“Pemuda UMNO Kedah juga ingin menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap komitmen Pas yang tetap akan membawa usul ini secara usul persendirian,” kata ketuanya, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pihaknya menyeru agar semua ahli parlimen muslim komited dan menyokong usul yang bakal dibentangkan oleh Ahli Parlimen Marang.

Dalam hal ini Pemuda UMNO Kedah memohon agar semua Ahli Parlimen yg beragama Islam melihat usul RU355 diluar ruang lingkup politik dan pada masa yg sama bersolidariti atas kepentingan ummah dan agama.

RUU355 adalah penyata kerajaan justeru selaku kerajaan bertanggungjawab yang sudah tiga kali meminda untuk memperkemaskan akta berkenaan demi kemaslhatan umat Islam maka tidaklah menjadi satu kesalahan untuk diberi laluan pada indvidu persendirian membentangkan bagi pindaan kali ini, katanya.

“Kerajaan dan UMNO sentiasa komited dan mahu agar fungsi dan kuasa mahkamah syariah terus diperkasakan,” ujarnya.

Dewan Tertinggi BN yang bermesyuarat tanggal 29 Mac lalu secara konsensus bersetuju untuk menyokong RUU355 dibentangkan secara usul persendirian. -MalaysiaGazette