Tan Sri Annuar Musa dikejarkan ke hospital selepas mengalami sakit dada dan muntah-muntah.

KOTA BHARU – Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berada dalam keadaan stabil dan kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Koronari (CCU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini.

Buat masa ini, beliau tidak dibenarkan menerima pelawat dan dijangka dirawat di wad tersebut serta berehat dalam tempoh beberapa hari.

Ahli Parlimen Ketereh itu dikejarkan ke hospital tersebut pada pukul 6.15 pagi ini selepas mengadu sakit dada dan muntah-muntah.

Menurut ahli keluarga terdekatnya, Annuar berseorangan di rumahnya di Seri Puri, Bukit Marak dekat sini ketika kejadian.

“Selepas solat subuh beliau mula rasa sakit dada, sakit kepala dan muntah-muntah.

“Ekoran daripada itu beliau telah menelefon abangnya, Abdul Sattar yang tinggal di hadapan rumahnya dan beliau di bawa ke HUSM untuk menerima rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, Annuar mungkin terlalu penat dan tidak cukup rehat sehingga keadaan kesihatannya terjejas.

“Beliau terlalu kuat bekerja dan tidak rehat dalam masa sebulan dua ini malah telah menjelajah ke seluruh negara untuk bertemu dengan rakyat.

“Kami berharap semua pihak bersama-sama mendoakan agar tahap kesihatannya kembali pulih,” katanya. – MalaysiaGazette