Salmah Nawadin ketika ditemui pada Majlis Pemberian Lesen Teksi Individu dan Geran Kerajaan Di Bawah Program Transformasi Industri Teksi (TITP) di Banquet Hall PERSADA PLUS, Subang. foto ADIB AIMAN ROSLI, 31 MAC 2017

 

KUALA LUMPUR – Tujuh tahun memandu teksi demi mencari sesuap rezeki meskipun ada kala, duit sendiri pula terpaksa dikeluarkan untuk membayar pajakan dan permit teksi kerana tiada penumpang yang menggunakan perkhidmatannya.

Namun semua ini dilalui dengan sabar oleh Salmah Nawaddin,58, demi untuk meneruskan kelangsungan hidup dan membantu suami yang menghidapi penyakit kanser paru-paru.

Justeru, apabila kerajaan mengumumkan bakal mengeluarkan lesen teksi individu kepada golongan sepertinya, dia tidak lagi menunggu lama untuk memohon.

Katanya, lesen teksi individu mampu mengurangkan kos yang terpaksa ditanggungnya setiap bulan.

“Alhamdulillah, saya gembira sangat dan terharu kerana berjaya dapat lesen teksi individu ini kerana pendapatan saya tidak menentu malah kadang-kadang langsung tidak ada.

“Tetapi bayaran pajakan dan permit kepada syarikat teksi tetap perlu dilunaskan. Jadi, di dalam keadaan seperti itu, saya terpaksa menggunakan wang sendiri,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini sambil menambah dia terpaksa membayar wang pajakan dan permit teksi termasuk Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebanyak RM1,400 sebulan.

Sedangkan pendapatannya tidak menentu di antara RM1,000 lebih sehingga RM2,000 sahaja sebulan, bergantung kepada permintaan penumpang.

Salmah mula bekerja selepas selesai menunaikan solat Subuh sehingga waktu Maghrib setiap hari.

Katanya, dia tidak sabar untuk membeli teksi baharu menggunakan geran RM5,000 yang diberikan kerajaan di bawah Program Transformasi Industri Teksi (TITP) kerana tidak perlu lagi terikat dengan syarikat teksi selepas ini.

Menurut Salmah, pada awalnya dia hanyalah seorang peniaga kecil manakala suaminya adalah pemandu teksi di Seremban, Negeri Sembilan.

Namun, demi untuk menampung kos sara hidup yang semakin meninggi, suaminya menggalakan dia memandu teksi sejak tujuh tahun lalu bagi menambah pendapatan selain berniaga.

“Dulu saya memandu pada waktu siang manakala dia memandu pada waktu malam sehinggalah beberapa bulan lepas suami sudah tidak berdaya langsung untuk bekerja kerana penyakit kanser hati.

“Jadi saya terus mengambil alih sepenuhnya teksi tersebut kerana rasa sayang pula untuk dilepaskan. Hutang pajakan teksi sudah hampir habis, saya fikir lebih baik saya terus memandu teksi,” katanya lagi.

Semalam, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar menyampaikan lesen teksi individu kepada 300 pemandu teksi pertama yang layak dan menamatkan kontrak pajakan teksi mereka.

Ini membolehkan pemandu-pemandu teksi berkenaan bebas daripada terikat dengan syarikat teksi dengan kontrak yang dikatakan tidak adil kepada mereka.- MalaysiaGazette