Ops Jihad Dadah berjaya merampas dadah bernilai RM4.7 juta.

KOTA BHARU – Polis menahan seorang lelaki bersama 474,000 biji pil kuda yang dianggarkan bernilai RM4.7 juta di sebuah rumah kosong di Pangkalan Haram Hasan Merah, Rantau Panjang dekat sini kira-kira pukul 7.19 petang Khamis lalu.

Ia merupakan rampasan terbesar dadah jenis itu oleh Polis Kelantan setakat ini selepas melancarkan Jihad Dadah pada tahun lalu.

Lelaki berusia 52 tahun itu dikatakan mengambil upah untuk membawa masuk dadah tersebut dari negara jiran.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, siasatan awal mendapati lelaki suspek mendapat upah sebanyak RM200 untuk membawa masuk dadah itu sebelum diserahkan kepada pengedar di negeri ini.

kelantan2

“Dadah ini dipercayai untuk pasaran negeri ini dan Terengganu.

“Kita masih menjalankan siasatan lanjut dalang disebalik sindiket ini.

“Suspek ditahan reman selama ujuh hari sejak kelmarin untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini hari ini.

Din berkata, kejayaan tersebut hasil serbuan sepasukan anggota dari Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa yang ditugaskan untuk mengawal sempadan.

“Serbuan itu dilakukan selepas anggota terbabit melalukan intipan di kawasan berkenaan hasil maklumat awam.

“Kita telah menggerakkan semua anggota yang ada untuk membanteras musuh nombor satu negara dengan Jihad Dadah yang dilancarkan dan melibatkan semua golongan masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette