Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berucap pada program Komuniti Sihat Tanpa Asap Rokok di Dewan Komuniti MIC Kampong Pandan, Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 02 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani menasihati bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar membuat rujukan semula kepada laporan yang dibuat Jawatan Kuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung hutang yang ditanggung syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ujar Johari, laporan yang dikeluarkan PAC di Dewan Rakyat tahun lalu sudah menjelaskan secara terperinci permasalahan yang berlaku dalam pengurusan syarikat pelaburan terbabit

“Saya dah malas nak jawab, dalam laporan PAC dan dalam Parlimen sudah dijelaskan.

“Saya sudah cakap 1MDB memang ada masalah melibatkan model perniagaan, masalah pengurusan dan sebagainya,” katanya kepada media dalam satu majlis di Kampung Pandan hari ini.

Muhyiddin selaku bekas timbalan perdana menteri katanya, berhak untuk membuat kritikan namun kritikan demi kritikannya tidak akan menyelesaikan masalah.

Malah ujar Johari, semua pihak perlu bersama mencari penyelesaian untuk membangunkan semula aset yang dimiliki 1MDB.

“Bukan tidak boleh persoal, memang kalau ada masalah kita boleh persoal tapi isu sekarang benda ini sudah berlaku sejak enam tahun lalu, jadi saya ingat kita sekarang kena cari penyelesaian macam mana nak bangunkan aset kita supaya boleh buat benda ini,” katanya.

Muhyiddin semalam membuat kenyataan mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar membuat penjelasan secara “menyeluruh, jujur dan telus” berhubung beban hutang sebenar syarikat pelaburan strategik kerajaan.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia berkata, kenyataan terbaru perdana menteri itu sengaja dibuat untuk mengabui mata rakyat seolah-olah 1MDB telah terlepas daripada segala bebanan hutangnya.

“Perdana menteri membuat kenyataan 1MDB telah membayar kesemua hutang jangka pendek dan jangka panjangnya berjumlah RM3 bilion sepanjang dua tahun lalu.

“Kenyataan ini sengaja dibuat untuk mengelabui mata rakyat seolahnya 1MDB telah terlepas daripada segala bebanan hutangnya,” kata Muhyiddin.

Beliau memberikan reaksi berkenaan berhubung kenyataan Najib bahawa 1MDB yang pernah menanggung hutang sehingga RM50 bilion setakat bulan Januari 2016 telah menjelaskan semua hutang bank dan jangka pendek firma itu. -MalaysiaGazette.