Wei Li membuat laporan polis selepas lebih 100 sijil akademik dan kokurikulumnya dicuri

MUAR – Seorang mangsa kes kecurian meminta pencuri yang memecah masuk ke dalam keretanya untuk memulangkan lebih 100 sijil akademik dan kokurikulum yang diperlukan untuk memohon kemasukan ke kelas matrikulasi.

Shen Wei Li, lepasan tingkatan lima, semasa kejadian meletakkan kereta di luar pusat St. John Ambulance di Muar, Johor kerana bertugas dalam kerja komuniti termasuk kerja-kerja menyelamat sementara menunggu masa untuk melanjutkan pelajaran.

Sebaik menamatkan syif di pusat kecemasan tersebut, Wei Le mendapati keretanya telah dipecah masuk dan dompet yang diletakkan dalam kotak simpanan telah hilang.

Namun apa yang paling merunsingkan Wei Li ialah fail yang mengandungi semua sijil yang diperlukan untuk memohon kemasukan ke matrikulasi turut dicuri.

Semasa kejadian, lepasan tingkatan lima itu membawa bersama sijil yang banyak kerana berhasrat mahu melakukan cetakan di kedai bagi tujuan kemasukan ke matrikulasi.

Sijil-sijil tersebut merupakan pengiktirafan terhadap kecemerlangannya dalam bidang akademik dan kokurikulum selama lima tahun berada di sekolah menengah.

Antara yang hilang ialah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan sijil yang mencatatkan kecemerlangannya dalam Taekwondo, tarian Latin dan khidmat komuniti.

China Press melaporkan, selain membuat seruan melalui media sosial, pelajar itu juga mundar mandir di kawasan keretanya dipecah masuk dengan harapan dapat menemui semula fail yang hilang. – MalaysiaGazette