Debat antara Datuk Seri Nazri Aziz dan Tun Dr Mahathir Mohamad di Kompleks Karangkraf dibatalkan.

SHAH ALAM – Permit debat antara bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pada 7 April ini dibatalkan atas faktor keselamatan dan ketenteraman awam, menurut polis.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Fuad Abdul Latiff berkata, polis menerima 18 laporan daripada orang awam di Selangor yang membantah debat yang dijadual diadakan di Kompleks Karangkraf di sini.

“Sehingga kini, polis menerima bantahan-bantahan secara bertulis iaitu 18 laporan polis yang dibuat orang awam. Mereka amat bimbang dengan keselamatan diri dan keluarga.

“Justeru, polis membatalkan permit penganjuran debat itu dengan mengambil kira kepentingan serta keselamatan awam,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Mohd Fuad berkata hasil risikan polis juga menunjukkan ada pihak tertentu yang akan membuat kekacauan pada tarikh debat tersebut.

Semalam, Pengarah Urusan Kumpulan Media Karangkraf Datuk Hussamuddin Yaacob berkata, pihaknya menerima surat pembatalan permit kebenaran debat daripada Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Shafien Mamat.

Pembatalan itu dibuat sehari selepas Hussamuddin mengumumkan pihaknya telah mendapat kebenaran untuk mengadakan program itu. – MalaysiaGazette