Ilustrasi artis mengenai gedung membeli-belah moden, Mayang Mall di Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU – Terengganu bakal memiliki sebuah gedung membeli-belah terbesar dan moden dilengkapi dengan hotel lima bintang dan pangsapuri servis bernilai RM900 juta dalam tempoh tiga tahun.

Menurut Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman terletak di atas tanah berkeluasan 10.8 hektar di Kampung Ladang Tanjung, Jalan Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu, Mayang Mall juga bakal memberi peluang pekerjaan kepada 3,000 penduduk tempatan.

Ia dibangunkan oleh Pelaburan Hartanah Bhd. (PHB) bersama degan Sogo (KL) Department Store Sdn. Bhd. dengan pajakan selama 15 tahun bermula 2020 sebagai penyewa utama.

Dengan ini, Sogo (KL) diberi tanggung jawab untuk menguruskan penyewaan kedai, operasi, produk dan perkhidmatan di dalam gedung berkenaan.

Gedung ikonik itu direka secara bersama oleh GDP Architects Sdn. Bhd. dan Lead 8 Pte Ltd (Singapore).

Majlis pecah tanah disempurnakan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini.-MalaysiaGazette