PETALING JAYA – Majikan wajib memberi cuti kepada pekerja pada 24 April sempena dengan pertabalan Yang di-Pertuan Agong dan mereka yang ingkar akan berdepan denda.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, berlainan dengan cuti kerajaan negeri di mana majikan boleh memilih untuk mematuhi atau sebaliknya, cuti yang diumumkan Kerajaan Persekutuan adalah wajib dituruti.

“Untuk cuti yang diumumkan Kerajaan Persekutuan di bawah Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan Am 1951, majikan tiada pilih tetapi menurutinya atau berdepan kompaun maksimum RM10,000,” katanya kepada Sinchew Daily.

Kerajaan telah memutuskan 24 April (Isnin) sebagai hari kelepasan am tambahan bagi seluruh negara sempena Hari Pertabalan Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, pengisytiharan itu dibuat berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan Am 1951 (Akta 369) bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Katanya, bagi Sabah dan Sarawak, kerajaan negeri berkenaan diminta mengambil tindakan mengikut undang-undang negeri masing-masing.

Shamsuddin berkata, kerajaan jarang mengisytiharkan cuti berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan Am 1951 melainkan semasa pertabalan Agong atau kematian tokoh penting.

Menurutnya lagi, penduduk di Kedah, Negeri Sembilan dan Perlis layak menikmati cuti gantian satu hari lagi sebab negeri-negeri berkenaan juga bercuti sempena dengan Israk dan Mikraj pada 24 April.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdul Halim Mansor pula berkata, majikan harus memberi cuti kepada pekerja kerana ia merupakan hari pertabalan yang disambut seluruh negara.

“Ini juga merupakan satu penghormatan buat Yang Dipertuan Agong.

“Walaupun ada sesetengah syarikat sudah mempunyai perancangan aktiviti, tetapi kerajaan membuat pengumuman 20 hari lebih awal untuk membolehkan syarikat melakukan penyelarasan sewajarnya,” katanya.

Menurutnya lagi, pekerja yang menjalankan tugas pada 24 April layak menikmati bayaran gaji berganda.