Sulaiman Abd. Razak

SHAH ALAM – UMNO Selangor mempunyai kekuatan sendiri untuk beroleh kemenangan dengan majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini, kata Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Karang, Datuk Sulaiman Abd. Razak.

Katanya, UMNO negeri tidak sekali-kali akan bergantung atau mengharapkan kemenangan yang disebabkan perpecahan dalam Pakatan Harapan (PH) Selangor.

“Konsep kita ialah berdiri atas kekuatan sendiri. Kita bina keyakinan kita sendiri, bukan mengharapkan perpecahan orang lain.

“Kita kini meneruskan kerja kita ke arah kemenangan. Tidak kiralah bertanding dua penjuru, tiga penjuru atau apa keadaan sekalipun,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas tindakan Pas Pusat yang tidak mahu bekerjasama dengan PH Selangor pada PRU 14, selain berlaku perebutan kerusi antara DAP, Pas dan PKR.

Dalam perebutan itu, Pas mahu mengekalkan kerusi yang dipertandingkan parti itu pada PRU 13, tetapi dibantah oleh DAP yang mendakwa memberi pinjam kerusi berkenaan kepada Pas ketika mereka bertahaluf siyasi ketika itu.

Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, meminta rakyat negeri itu membuat pilihan yang bijak pada PRU 14 dan menamatkan pemerintahan PH yang gagal menjaga kebajikan rakyat.

“Rakyat harus bijak buat penilaian kali ini dan hampir 10 tahun PH memerintah Selangor, rakyat masih tidak mempunyai jaminan masa depan,” katanya.

Mengenai desas desus akan berlaku pertandingan tiga penjuru di banyak kawasan, beliau tidak menolak kemungkinan itu.

Ini kerana katanya, PKR tidak akan melepaskan kerusi yang mereka bertanding sebelum ini untuk pilihan raya akan datang dan DAP pula akan mendominasi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ada.

“DAP sudah parti (akan bertanding) mana-mana kerusi yang mereka mahu. Mereka parti dominan dan tidak akan beri ruang kepada parti lain. Suasana ini menyebabkan berlaku persaingan antara mereka (DAP,PKR dan Pas),” ujar beliau. – MalaysiaGazette