Tan Sri Muhyiddin Yassin

KUALA LUMPUR – Tindakan keluar parti oleh sekumpulan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dari cawangan Rembau tidak menjejaskan parti itu.

Menurut presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ditemui di luar Dewan Rakyat semalam, kumpulan yang keluar parti tersebut hanya sebilangan kecil iaitu lebih kurang 20 orang, berbanding 500 seperti yang didakwa oleh kumpulan tersebut.

“Bagi saya ini tidak membimbangkan kerana Negeri Sembilan adalah negeri terakhir yang kita akan selesaikan pembentukan bahagian-bahagiannya mulai sekarang. 

“Ramai ahli masih kekal, mereka kata 500, saya lihat cuma 20 orang. Jadi, semua ini tidak membimbangkan kita. PPBM tidak terjejas kerana hanya tindakan satu dua orang.”

Tambah Muhyiddin lagi, kenyataan tersebut bersifat dangkal kerana sebahagian daripada kumpulan tersebut termasuk pemimpinnya, Mohd Anas Sudin merupakan ahli PKR. 

“ Saya dapat maklumat bahawa sebahagian daripada mereka termasuk Anas ini sudah pun menjadi ahli dalam PKR,” katanya.

Anas bagaimanapun ketika dihubungi, menolak dakwaan bahawa beliau sudah berdaftar sebagai ahli PKR.

Menurut Anas, kenyataan Muhyiddin Yassin itu hanya mahu melaga-lagakan kumpulannya dengan angota atau pihak parti PKR.

“Seperti yang saya maklumkan dalam sidang media semalam, kami dalam tempoh berehat. Dapat tawaran bukan hanya PKR, tapi kami tidak buat apa-apa keputusan lagi. 

“Muhyiddin dapat maklumat tidak tepat, kerana kami pakai baju biru semalam,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Anas turut mencabar bekas pemimpinnya itu untuk berdebat mengenai isu kronisme dalam parti PPBM.

Semalam, seramai 500 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Rembau mengisytiharkan keluar daripada parti itu.

Keputusan berikut diambil berikutan amalan kronisme yang diamalkan dalam PPBM, selain hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan parti yang diketuai oleh Muhyiddin.-MalaysiaGazette