KUALA LUMPUR – Kesatuan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) mahu polisi ketat diamalkan oleh syarikat penerbangan dalam proses menemuduga anak-anak kapal terutama calon wanita.

Setiausaha Agung NUFAM, Mohd. Akram Osman berharap peraturan itu menjadi prosedur operasi standard dalam (SOP) dan peraturan yang akan digubal Kementerian Pengangkutan tidak lama lagi.

“Kami tidak mahu lagi dengar aduan daripada calon wanita mengenai ada salah guna dan gangguan semasa sesi temuduga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Akram berkata demikian merujuk kepada proses penggubalan peraturan dan SOP baharu untuk sesi temuduga dibuat oleh kerajaan dalam satu mesyuarat semalam.

Peraturan itu diwajibkan kepada semua syarikat penerbangan di negara ini.

Menurut beliau, syarikat penerbangan perlu lebih berhati-hati dan profesional semasa membuat sesi temuduga.

“Menjalankan temuduga di kawasan tertutup juga tidak selamat kepada wanita dan tidak digalakkan,” ujarnya lagi.

NUFAM juga menggesa syarikat penerbangan menyediakan kemudahan yang kondusif kepada calon-calon yang datang temuduga.

Ini kerana, pihaknya difahamkan ada syarikat penerbangan tidak menyediakan air minum dan tempat duduk mencukupi walaupun proses temuduga yang panjang dan ramai calon.

Sebelum itu ada dakwaan calon-calon yang datang untuk temuduga Malindo Air telah diminta membuka baju dalam ketika menjalani salah satu prosedur temuduga tersebut baru-baru ini.

Ia kemudiannya menjadi kontroversi walaupun Malindo Air menafikannya dan NUFAM mahu mangsa terlibat membuat aduan.- MalaysiaGazette
ants Malaysia – Nufam

Comments are closed.