Amy Salmiah Dahlan (dua dari kiri) dan mangsa penipuan menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Beberapa individu yang menjadi mangsa penipuan jutaan ringgit menggunakan nama orang kenamaan hari ini membuat laporan polis terhadap pasangan suami isteri bergelar ‘Datuk Seri’ dan ‘Datuk’ kerana memperdaya mereka.

R RamananLaporan polis tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi oleh wakil sekumpulan 700 pelabur, Amy Salmiah Dahlan dan ditemani bekas Bendahari Agung MIC, Datuk R. Ramanan bersama beberapa mangsa penipuan lagi.

Dalam sidang media selepas laporan itu dibuat, Ramanan berkata, mereka turut menyerahkan bukti rakaman audio mengatakan tertuduh, Datuk Seri G. Gnaraja dan isterinya, Datuk Geethanjali menggunakan nama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam melakukan penipuan mereka.

“Kami hari ini menyerahkan bukti berbentuk rakaman audio kepada pihak polis di mana Gnarajah mengatakan sudah mendapat arahan daripada Perdana Menteri dan isteri bahawa akan mendapat lesen perbankan untuk mereka jalankan pelaburan,” kata Ramanan semasa sidang media sebaik selesai laporan polis dibuat.

Beliau berkata, laporan polis dibuat bertujuan untuk membersihkan nama pemimpin negara yang digunakan pasangan semua isteri tersebut menjalankan kegiatan penipuan.

Sementara itu, Amy Salmiah yang ditemui membuat laporan polis berkata, beliau berharap mendapat keadilan dan mengheret pasangan suami isteri ke muka pengadilan kerana penipuan yang mereka jalankan.

“Saya berharap laporan polis hari ini dapat membawa pasangan suami isteri ini ke muka pengadilan dan dihukum dengan segera kerana ribuan orang sudah ditipu mereka,” katanya.

Amy Salmiah membuat laporan sebagai wakil kepada kira-kira 700 pelabur beragama Islam yang ditipu oleh pasangan suami isteri tersebut.

Hari ini, sebanyak 20 laporan polis dibuat di balai polis yang sama.

Beliau merupakan antara 22,000 mangsa penipuan pasangan berkenaan yang didakwa melibatkan pelaburan wang sebanyak RM80 hingga RM100 juta.

Ramanan 1Amy sendiri telah melabur sebanyak RM36,000 pada tahun lalu bersama 700 rakan-rakannya yang melibatkan wang sebanyak RM6 juta namun ia lesap tanpa sebarang keuntungan seperti yang dijanjikan.

Pada hujung Mac lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani mendedahkan tangkapan enam suspek termasuk seorang wanita berusia antara 28 hingga 38 tahun selama 21 hari untuk disiasat bawah Seksyen 3(1) Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) melibatkan penipuan wang pelaburan mata wang asing berjumlah antara RM80 hingga RM100 juta di bawah syarikat VenusFX.

Berhubung tindakan polis terhadap enam individu itu, Ramanan memuji langkah proaktif pihak polis, bagaimanapun dalang sebenar iaitu pasangan suami isteri tersebut masih bebas dan belum diambil tindakan.

“Saya puji tindakan polis kerana cepat mengambil tindakan, bagaimanapun dalang sebenar atau ketua penipuan ini, Gnaraja dan isteri ini masih bebas dan belum diambil tindakan.

“Saya harap pihak polis segera menangkap dan membawa pasangan ini ke muka pengadilan,” katanya.

Dalam laporan polis yang dibuat hari ini, pasangan suami isteri itu didakwa menipu seorang ahli perniagaan, Abdul Hamid Bawal untu melabur sebanyak RM55 juta dalam syarikat mereka

Gnaraja juga didakwa membuat pengakuan palsu mengatakan mereka adalah penasihat kepada Perdana Menteri dan diberikan tugas untuk menjalankan operasi bank pelaburan menerusi yayasan miliknya, Yayasan Usaha Ventures Malaysia.

Hasil daripada penipuan yang dilakukan mereka, Gnaraja didakwa memiliki rumah agam mewah bernilai RM20 juta dan beberapa kereta mewah serta mengupah pengawal peribadi bagi melindungi diri mereka daripada diancam mangsa penipuan. – MalaysiaGazette.

Comments are closed.