Tun Dr Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad mendakwa beliau tiada masalah untuk menyokong usaha membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada penjara.

Namun, bekas Perdana Menteri itu berkata, ia hanya dapat dilakukan sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang dalam Pilihan Raya ke-14 (PRU14), lapor sebuah laman portal.

“Kalau rakyat nak Anwar bebas, siapa saya nak tahan rakyat?.

“Tapi perkara ini perlu dilakukan oleh Perdana Menteri dan saya tidak memegang jawatan tersebut,” katanya ketika Program Hardtalk yang diadakan di Kompleks Belia dan Kebudayaan Selangor malam tadi.

Menurut Mahathir, beliau bukannya seorang pendendam malah musuh-musuhnya sebelum ini seperti Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah turut diberi kedudukan di dalam Kabinet pada zaman pemerintahannya.

“Saya tak simpan dalam hati,” ujarnya.

Anwar merupakan Timbalan Perdana Menteri semasa pemerintahan Dr Mahathir sebelum dipecat atas tuduhan salah laku seks pada 1998.

Pemecatan Anwar tmencetuskan krisis politik paling buruk yang menyaksikan demonstrasi reformasi di lakukan secara besar-besaran di negara ini.

Kedua-dua tokoh itu kekal bermusuhan walaupun ketika kemuncak penentangan Dr Mahathir terhadap UMNO di bawah kepimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi pada 2008.

September lalu, Dr Mahathir membuat kejutan apabila hadir di mahkamah untuk bersalaman dengan Anwar, pertemuan pertama mereka selepas 18 tahun menjadi musuh politik, walaupun pernah sama-sama mengetuai kerajaan pada 1990an.

Sejak Februari 2015, Anwar mula menjalani hukuman penjara 5 tahun di Penjara Sungai Buloh, selepas disabit kesalahan meliwat bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan. – MalaysiaGazette