Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien bercakap pada sidang media selepas istiadat Penganugerahan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera Malaysia di Dewan Perkasa Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia, Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 10 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan bersiap-sedia jika diarahkan untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di Mesir susulan perintah darurat selama tiga bulan akibat serangan terbaharu pengganas di negara itu.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bagaimanapun berkata, pihaknya masih menunggu laporan daripada Kementerian Luar berhubung situasi rakyat Malaysia di Mesir dan sebarang keputusan untuk membawa keluar perlu diputuskan oleh Kabinet.

“Daripada dahulu lagi apabila diminta untuk menolong, beritahu sahaja kami dan kami bersedia untuk bantu tapi keputusan untuk bawa pulang rakyat dan pelajar Malaysia di sana hanya boleh diputuskan oleh Kabinet atau Kementerian Luar,” kata beliau semasa sidang media hari ini selepas menghadiri Istiadat Penganugerahan Darjah Kepahlawanan Angkatan tentera (DKAT) Tahun 2016 di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM.

Hishammuddin melahirkan rasa bimbang terhadap serangan terbaharu kumpulan pengganas IS yang dilihat berbeza dengan kumpulan pengganas terdahulu serta tidak menolak Malaysia juga tidak terlepas daripada ancaman sedemikian.

“Jangan ingat Malaysia terkecuali daripada ancaman sedemikian,” katanya.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, pihaknya sentiasa memantau keadaan semasa di Mesir dan berkongsi maklumat dengan Kementerian Luar dan agensi risikan lain.

“Kami sedang pantau situasi semasa dan seperti biasa kami bekerjasama dengan Kementerian Luar, Kementerian Dalam Negeri dan agensi risikan lain,” katanya.

Beliau turut menggesa supaya orang ramai berkongsi maklumat keganasan bagi mengelakkan insiden seperti di Mesir berlaku di Malaysia.

“Kita tidak mahu lihat apa yang terjadi di sana berlaku juga disini,” ujarnya.

Beberapa gereja di Mesir diserang oleh kumpulan pengganas IS mengkibatkan berpuluh-puluh orang aam terkorban sehingga memaksa Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi mengumumkan perintah darurat.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan melalui media sosial, IS mengaku dua pengebom berani mati dari Mesir melakukan serangan itu dan mengancam akan terus melakukan serangan. – MalaysiaGazette