Ketua Dewan Pemuda Pas Selangor, Syarhan Huzaimi Abdul Halim berucap semasa demonstrasi bantahan di hadapan pejabat akhbar Nanyang Siang Pao di Petaling Jaya hari ini.

PETALING JAYA – Dewan Pemuda Pas Selangor hari ini menyerahkan memorandum kepada pihak pengurusan Nanyang Siang Pao mendesak permohonan maaf secara terbuka berhubung penyiaran karikatur penghinaan akhbar itu.

Ketuanya, Syarhan Huzaimi Abdul Halim berkata, ia bertujuan agar tidak wujud persepsi negatif terhadap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Pihak kami sangat berharap agar sikap ini diterjemahkan secara konsisten pada masa akan datang.

“Ia mampu menjadikan Nanyang Siang Pao sebuah akhbar yang beretika dalam menyampaikan berita baik kepada masyarakat khususnya kaum Cina,” katanya di luar pekarangan pejabat Nanyang Siang Pao, di sini, hari ini.

Beliau mengulas siaran karikatur Nanyang Siang Pao pada Jumaat lalu yang memaparkan Abdul Hadi dan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebagai ‘monyet’.

Karikatur bertajuk ‘Akta Monyet’ memaparkan seekor monyet bersongkok dan dilabelkan sebagai ‘speaker’, manakala seekor lagi memakai serban dan dinamakan sebagai ‘Hadi Awang’ bertenggek di pokok ‘Akta 355’.

Katanya, Pemuda Pas Selangor juga mendesak supaya insiden berkenaan dan kesilapan yang disengajakan itu tidak berulang kerana ianya sangat sensitif umat Islam dalam negara.

“Kekal dan wujudkan suasana harmoni dalam kalangan masyarakat berbilang kaum dalam negara kita,” katanya.

Beliau turut mendesak akhbar berkenaan merujuk dan memahami RUU355 yang telah dibentangkan ahli Parlimen Marang di Parlimen, minggu lalu.

“Kita mendesak supaya menerapkan budaya pemberitaan yang benar, pengamal media mesti sentiasa menghormati keluhuran Perlembagaan dan memahami rukun negara,” katanya lagi.- MalaysiaGazette