Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melakukan gimik pelancaran sambil perhatikan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan) dan Pengerusi Sementara MARA, Datuk Yusof Yacob (kiri) pada Majlis Perasmian Konvensyen MRSM Ulul Albab 2017 Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Hotel Premiera, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 10 APRIL 2017

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk menambah lima lagi bilangan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ulul Albab di negara ini.

Kelima-lima MRSM baharu itu dibina di Semporna, Bagan Datuk, Bera dan Sik dengan anggaran kos sebanyak RM600 juta.

Program MRSM Ulul Albab sebelum ini telah diwujudkan di empat buah MRSM iaitu bermula di Kota Putra, Terengganu (2009), Gemenceh (2010), Kepala Batas (2011) dan Sungai Besar Selangor baru-baru ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, para pelajar yang telah menamatkan pengajian di MRSM Ulul Albab akan diberi keutamaan untuk ditaja dibawah Skim Pelajar Cemerlang bagi melanjutkan pengajian dalam bidang profesional, saintifik dan teknikal di universiti tersohor dunia.

“Saya faham MARA yakin melalui program Ulul Albab ini dapat melahirkan para huffaz yang bakal menyumbang kepada pembangunan negara di masa akan datang.

“Seiring dengan itu kerajaan telah menggariskan beberapa hala tuju Transformasi Negara 2050 memerlukan kepada kepimpinan dan karakter yang mampu membawa negara terus kompetitif di persara dunia.

“Justeru MRSM Ulu Albab merupakan salah satu komponen penyumbang kepada pembangunan modal indsan dan bertepatan dalam menjayakan aspirasi kerajaan,” katanya selepas perasmian Konvensyen MRSM Ulul Albab 2017 di ibu negara malam tadi.

Turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Majlis yang sama diadakan bertujuan menghimpunkan para huffaz yang terdiri daripada pelajar dan bekas pelajar huffaz.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri menyifatkan program yang sama sebagai salah satu model baharu pembangunan kepimpinan generasi TN50 di mana pemimpin negara sama ada d peringkat korporat, perniagaan, cendekiawan dan sebagainya adalah daripada kalangan mereka yang menghafal al-Quran dan menjadikan teras dalam melaksanakan tanggungjawab.

“Unik program ini ialah ia melahirkan pelajar bercirikan quranik memahami al-Quran dan menghayatinya, ciri ensiklopedik iaitu berpengetahuan luas dalam pelbagai bidang serta ciri ijtihadik iaitu mereka yang mampu mengeluarkan pandangan bagi penyelesaian permasalahan masa kini.

“Ia bermatlamat untuk mengembangkan lagi budaya menghayati dan memahami al-Quran dengan lebih mendalam selain menjadikan al-Quran sebagai asas kepada pembentukan generasi masa hadapan.

“Ia juga bertujuan mengharapkan budaya menghayati dan menghafaz al-Quran dapat dikembangkan dalam kalangan MRSM secara am selain Ulul Abab itu sendiri,” ujarnya lagi.

Setelah tujuh tahun MRSM Ulul Albab dilaksanakan, MARA berjaya mengeluarkan seramai 1,164 orang huffaz di seluruh negara.- MalaysiaGazette