Home Ekonomi Nilai jualan sektor pembuatan Februari RM59.4b

Nilai jualan sektor pembuatan Februari RM59.4b

KUALA LUMPUR – Nilai jualan sektor pembuatan pada Februari 2017 mencatatkan RM59.4 bilion, peningkatan kukuh sebanyak 15.7% (RM8.0 bilion) berbanding RM51.4 bilion yang dilaporkan tahun sebelumnya.

Tahun ke tahun, lonjakan nilai jualan pada bulan Februari 2017 adalah berikutan peningkatan dalam semua subsektor terutama kumpulan Produk Peralatan Elektrik dan Elektronik (13.8%), Produk Petroleum, Kimia, Getah dan Plastik (17.7%) dan Produk Mineral Bukan Logam, Logam Asas dan Produk Logam yang Direka (14.2%). Ketiga-tiga subsektor ini menyumbang 79.6% kepada nilai jualan sektor pembuatan.

Jumlah pekerja sektor Pembuatan pada bulan Februari 2017 adalah seramai 1,042,949 orang, meningkat sebanyak 1.4% atau 14,648 orang berbanding 1,028,301 orang pada Februari 2016, menurut Jabatan Statistik.

Jumlah gaji & upah yang dibayar pada bulan Februari 2017 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya telah meningkat sebanyak 0.3% (RM11.2 juta) kepada RM3,221.2 juta.

Katanya, produktiviti meningkat sebanyak 14.1% kepada RM56,989 berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya. – MalaysiaGazette