Gambar hiasan

MEXICO CITY – Mayat seorang lelaki yang didakwa saksi telah dibuang dari sebuah pesawat, terjatuh di atas bumbung hospital di Sinaloa, utara Mexico.

Mayat itu terjatuh di atas bumbung Hospital IMSS di bandar Eldorado, kira-kira pukul 7.30 pagi.

Identiti mayat belum dikenal pasti.

Beberapa saksi yang berada di luar hospital itu berkata, mereka nampak pesawat kecil terbang rendah di hospital dan mencampak mangsa.

Timbalan Peguam Negara Sinaloa, Jesus Martin Robles berkata, mayat berkenaan menunjukkan kecederaan disebabkan impak kuat, namun enggan mengesahkan sama ada mayat itu dicampak di atas bumbung.

Dalam pada itu, dua lagi mayat ditemui di bandar, kira-kira 60 kilometer dari selatan Culiacan.

Saksi-saksi juga mendakwa dua mayat berkenaan dicampak keluar dari sebuah pesawat.

Pegawai-pegawai kesihatan belum dapat memastikan sama ada lelaki yang dibuang di atas bumbung hospital masih hidup ketika dibuang dari pesawat.

“Ini merupakan kawasan pertanian dan pesawat kerap digunakan untuk pengasapan,” kata pegawai kesihatan sambil menambah operasi Hospital IMSS beroperasi seperti biasa.

Sinaloa adalah kawasan kediaman Raja Dadah Joaquin “Chapo” Guzman, sehingga dia ditahan pada tahun lalu.

Dia kini diekstradisi ke Amerika Syarikat awal tahun ini.

Sejak penahanan Chapo, tahap keselamatan di negara itu semakin merosot kerana kartel-kartel saling bergaduh dan mengancam sesama sendiri. – MalaysiaGazette