You Neng (membelakangi kamera) berbicara dengan pengendali pusat pemulihan dadah.

MUAR – Tuisyen, tuisyen, tuisyen. Inilah kehidupan You Neng semasa zaman remajanya.

Walaupun berminat dengan street dance, tetapi ibu bapanya tidak pernah merestui hobi anak mereka, kedua orang tua malahan melarang You Neng untuk berkawan.

Berasal dari Kota Bahru, Kelantan, You Neng yang kini berumur 24 tahun dan menerima rawatan ketagihan dadah menceritakan zaman kanak-kanaknya yang diwarnai dengan tuisyen.

Disebabkan tertekan dengan harapan ibu bapanya, You Neng yang mempunyai Ijazah Undang-undang dari United Kingdom terjebak dengan gejala dadah.

Dia sepatutnya layak bergelar peguam selepas praktikal selama sembilan bulan di firma guaman, tetapi dadah telah memusnahkan kariernya.

“Sejak kecil lagi, ibu bapa sangat tegas terhadap saya dan melarang saya berkawan atau berkecimpung dalam aktiviti yang diminati.

“Apa yang ada dalam memori hanyalah tuisyen. Saya sibuk dengan tuisyen sehingga tiada masa untuk makan dan terpaksa menghabiskan makanan tengah hari dalam kereta selepas habis sekolah kerana perlu bergegas ke tuisyen,” katanya kepada China Press.

You Neng berkata, dia mula merokok semasa tingkatan tiga dan mengambil dadah semasa berada di sebuah institusi pengajian tinggi swasta.

Semasa berada di United Kingdom, dia juga pernah menerima rawatan di hospital kerana mengambil dadah secara berlebihan.

Orang muda itu juga gagal membebaskan diri daripada belenggu dadah apabila kembali ke Malaysia dan ibu bapanya akhirnya menghantarnya ke pusat pemulihan dadah.

Kesal dengan pilihan sendiri untuk mengambil dadah, You Neng berkata, dadah bukan sahaja merosakkan kehidupannya malahan menyebabkan dia mengalami sakit mentah.

Ditanya sama ada akan meneruskan kerjaya sebagai peguam selepas proses pemulihan, You Neng berkata, dia akan meninggalkan bidang itu tetapi mahu mengejar impian sendiri. – MalaysiaGazette