Datuk Dr. Mohd. Shafei Abdullah dalam salah satu program di Wangsa Maju.

KUALA LUMPUR – Datuk Dr. Mohd. Shafei Abdullah yang kecundang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 bersedia bertanding semula di Wangsa Maju, kerusi Parlimen di ibu negara yang dipinjamkan daripada MCA.

Mohd. Shafei memberitahu Nanyang Siang Pau, beliau sedia bertarung sekali lagi di Wangsa Maju jika diberi kesempatan berbuat demikian oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, walaupun Wangsa Maju dipinjamkan daripada MCA, tetapi UMNO yang memberi laluan kepada MCA untuk bertanding di situ pada peringkat lebih awal.

Beliau bagaimanapun berserah kepada Najib untuk membuat pertimbangan sewajarnya berhubung hasrat MCA untuk bertanding semula di Wangsa Maju.

Semasa Pilihan Raya 2008, calon MCA, Yew Teong Look kalah di kerusi Parlimen Wangsa Maju dengan kekurangan 150 undi berbanding Wee Choo Keong yang bertanding atas tiket PKR.

Pada 2013 pula, Mohd. Shafei kecundang kepada calon PKR, Dr. Tan Kee Kwong yang memperolehi majoriti undi sebanyak 5,511 undi.

Wangsa Maju bersama dengan Kuantan di Pahang dan Gelang Patah di Johor merupakan tiga kerusi Parlimen yang dipinjamkan oleh MCA untuk dipertandingkan calon UMNO dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Mohd. Shafei percaya dirinya mampu merampas Wangsa Maju daripada pembangkang jika diberi peluang untuk bertanding semula.

Katanya, walaupun kecundang pada 2013, tetapi beliau tidak pernah berhenti daripada memberi perkhidmatan kepada warga Wangsa Maju.

Terdapat kira-kira 60 peratus pengundi Melayu di Wangsa Maju dan 36 peratus pengundi Cina.

MCA dilaporkan akan meletak semula Teong Look yang juga bekas wakil rakyat sebagai calon di Wangsa Maju.