Rafizi Ramli hadir di ibupejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya bagi menyerahkan akuan berkanun. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 14 APRIL 2017.

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli hari ini membuat akuan berkanun menafikan dakwaan blogger, Raja Petra Kamaruddin dan seorang bekas aktivis PKR bahawa beliau menerima dana RM20 juta daripada ahli perniagaan, Datuk John Soh Chee Wen.

Beliau yang juga naib presiden PKR berkata, akuan berkanun itu akan diserahkan kepada ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini.

“Saya Mohamad Rafizi Ramli membuat akuan berkanun mengikut Akta Akuan Berkanun bagi tujuan menafikan sekeras-kerasnya fitnah yang dimulakan oleh Raja Petra dan diulang oleh Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard dan pihak-pihak lain.

“Saya tidak pernah menerima satu sen pun dalam apa-apa bentuk daripada mana-mana individu yang bernama John atau Soh atau John Soh atau Soh Chee Wen,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan SPRM, di sini, hari ini.

Raja Petra pada 8 April lalu mendakwa Soh, yang kini ditahan pihak berkuasa Singapura yang menyiasat peranan beliau dalam kejatuhan pasaran saham pada 2013, pernah menyalurkan berjuta-juta ringgit kepada Rafizi dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution, di samping beberapa pemimpin kanan PKR lain.

Mengulas lanjut, Rafizi juga mengalu-alukan mana-mana pihak untuk melaporkan kepada polis atau SPRM sekiranya beliau berbohong dalam akuan berkanun berkenaan.

“Saya menjemput mana-mana pihak berkuasa menyiasat saya di bawah Akta Berkanun 1961 sekiranya dalam mana-mana kenyataan saya atau mana-mana akuan berkanun sebelum ini adalah tidak benar.

“Sekiranya mana-mana kenyataan saya dalam kesemua akuan berkanun pengisytiharan harta dan lain-lain akuan berkanun adalah tidak benar, saya menjemput mana-mana pihak untuk membuat laporan polis menyiasat saya sekiranya penafian saya tidak menerima wang daripada John Soh dalam akuan berkanun ini adalah tidak benar,” tegasnya.

Rafizi berkata, akuan berkanun itu dibuat sebagai menyahut cabaran pemimpin Pas untuk menafikan bahawa penyaluran dana itu tidak benar.

“Akuan berkanun ini sebagai menerima nasihat daripada setiausaha agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan yang mencabar saya membuat akuan berkanun menafikan pernah menerima wang berjumlah RM20 juta daripada John Soh,” katanya.

Rabu lalu, Takiyuddin turut mencabar Rafizi mendedahkan nama individu dalam kepimpinan Pas yang didakwanya menerima dana daripada 1MDB.

Takiyuddin berkata, tanpa menamakan individu berkenaan maka Ahli Parlimen Pandan itu hanya meneruskan drama politik bersiri seperti mana tuduhan-tuduhan beliau sebelum ini. – MalaysiaGazette